Profima gesa k'jaan pandang serius isu kelewatan perolehan rancangan RTM
Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) memohon Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memandang serius isu keputusan perolehan rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang tidak berjalan seperti tahun-tahun sebelum ini.
Presidennya, Khalil Saleh berkata penerbit program televisyen hingga kini masih ternanti-nanti keputusan tender kandungan yang telah melalui sesi saringan sekitar Jun hingga Julai lalu.
“Profima menerima banyak aduan dan keresahan di kalangan pekerja filem khususnya yang aktif dalam kerja-kerja melibatkan penerbitan program TV.
“Profima melihat peluang kerjaya melalui sumber utama ini (program TV RTM) tidak berjalan seperti tahun-tahun sebelumnya, malah tahun 2023 belum ada satu penganugerahan tender rancangan TV dibuat oleh pihak stesen kerajaan ini.
“Kelancaran pihak RTM memberikan projek perolehan melalui RTM kepada penerbit adalah sumber penting yang menyumbang sebahagian besar kepada peluang kerjaya kru filem khususnya pekerja belakang tabir
“Kesannya adalah kepada hampir 1,500 pekerja filem yang tertumpu kepada peluang pekerjaan melalui pelbagai bidang kerjaya khususnya projek dari RTM,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Profima itu, kata Khalil senada dengan Persatuan Penerbit Television Malaysia (PTVM) semalam yang meluahkan rasa kecewa mereka dan berharap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mampu membawa ‘sinar’ dalam keputusan perolehan RTM yang ditunggu sejak sekian lama.
“Profima turut menyokong kenyataan yang dibuat oleh Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Jurey Rosli (gambar, bawah) tentang keresahan dalam perkara yang sama.
“Penerbit yang akan terkesan lebih awal dan ia melibatkan semua pekerja yang menunggu peluang kerja melalui penerbit.
“Sekarang sudah Ogos, stesen TV kerajaan yang menjadi tempat bergantung masih belum keluarkan tawaran perolehan rancangan yang baru, ini sangat memberi kesan,” katanya.
Jurey pada satu kenyataan berkata, anak seni kini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tahun ini kerana hingga ke hari ini masih ternanti-nanti keputusan perolehan RTM.
Lebih terkesan kata Khalil, pekerja yang dulu aktif dalam penerbitan program televisyen tetapi tidak dapat bertahan dengan nasib mereka terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan.
“Selain itu, ada yang sudah berpindah serta terpaksa menetap di kampung halaman buat sementara waktu,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai