Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Barbie di Barbieland, Bibi di Bolehland

ULASAN SENI | Secara umumnya, kewujudan manusia di atas muka bumi ini terbahagi kepada dua kumpulan saja - kumpulan penguasa yang memerintah, dan rakyat yang diperintah.

Pergelutan kuasa di antara Barbie dan Ken di Barbieland barangkali adalah hakikat yang selalu dipertanyakan Bibi dan Din di Bolehland. Bezanya cuma tidak ada parti tuhan atau parti setan yang sering membodohkan patung-patung di situ setiap kali datangnya pilihan raya.

Barbie arahan Greta Gerwig - dan ditulis oleh suaminya, Noah Baumbach - membuka visual filem di sebuah gurun. Entah di planet mana, negara mana atau negeri mana, tidak pula diberitahu.

Naratif Barbie kemudian dibina oleh beberapa orang kanak-kanak perempuan yang kelihatan sedang khayal bermain dengan anak-anak patung mereka.

Ketika itulah suara seniwati filem dan Broadway kelahiran British, Helen Mirren, tiba-tiba mensabdakan kisah yang sedang berlaku di sana.

Sabdaan Helen bukan saja menjelaskan kekaburan visual yang sengaja dibina untuk menimbulkan tanda tanya. Ia juga berfungsi sebagai ‘persepsi’ yang tidak hanya cuba mempengaruhi tapi menjenakakan perangai atau karektor watak-watak yang ada.

“Sejak zaman dahulukala lagi, semenjak terlahirnya bayi perempuan pertama di atas dunia, anak patung sudah ada. Tetapi anak patung yang ada akan sentiasa dan selamanya anak patung bayi.

"Kanak-kanak perempuan yang bermain dengan patung-patung bayi itu pula mestilah menjadi ibu. Bolehlah dikatakan ia agak menyeronokkan, sekurang-kurangnya buat sementara.

"Tanyalah ibu anda kalau tak percaya. Hal Itu berterusan sehingga... Ya, Barbie mengubah segala-galanya,” kata Helen.

Mengundang rasa marah

Greta tentunya melakukan itu bukan demi menokok durasi filemnya atau hanya bersuka-suka. Pembukaan Barbie merupakan homage kepada kerja filem 2001: A Space Odyssey garapan Stanley Kubrick dan Arthur C Clarke.

Justeru ia dilakukan Greta dengan kesedaran bahawa 2001: A Space Odyssey adalah penonjolan hubungan kesejagatan manusia dengan kebesaran alam semesta. Maka di tengah-tengah hubungan manusia dengan alam semesta itu adalah kuasa.

Nah perebutan kuasa itulah yang mereka berdua ingin bawa.

Tidak menghairankan sekiranya Barbie yang dibungkus dengan elemen genre satira itu mengundang rasa marah dan kebencian dalam kalangan beberapa kerat selebriti dan pengkritik filem di AS.

Hal itu kerana ada terlalu banyak hal penting dan perkara besar yang diangkat secara visual oleh Greta dan Baumbach melalui lakon layarnya.

Dari keberadaan kapitalisme Mattel yang menggila-gila ke naluri feminisme Barbie yang tampak lembut tapi menindas. Dari maskuliniti Ken yang diperlihatkan bodoh hingga perubahan hodoh selepas jembalang patriaki datang merasuk.

Rencam sekolah-sekolah pemikiran itu semuanya diwacanakan dengan tantangan genderisme yang bukan saja indah dari aspek estetika visual bahkan cantik dipakejkan bersama kepintaran dialog, serta kecerdikan humor yang memanfaatkan wit di sepanjang cerita.

Barbie di tangan Greta dan Baumbach ternyata menjadi sebuah karya pop yang bukan saja memberikan hiburan tetapi tepu dengan kepelbagaian gagasan sekolah falsafah pemikiran yang indah.

Epicurus - seorang ahli falsafah Yunani kuno - pernah mengatakan bahawa manusia adalah makhluk individu yang tujuan utama hidupnya adalah untuk mencari sebanyak mungkin kebahagiaan.

Dia seakan-akan mahu berkata bahawa hedonisme sebetulnya bukanlah pemikiran atau falsafah. Hedonisme adalah deria keenam manusia kerana memang sifat semula jadi manusia mahu gembira dan bahagia tanpa dicederakan oleh apa-apa rasa derita.

Barbieland adalah dunia penuh hedonisme yang memiliki sekian banyak kegembiraan dan bahagia. Ketuanan pink di bawah kepimpinan wanita menjadikan Barbieland seperti syurga.

Memiliki presiden, anggota senat dan ketua hakim dengan kerajaan bersama sistem kehakimannya sendiri, mempunyai juruterbang wanita dengan syarikat penerbangan pink.

Malah kemajuan agensi angkasa lepas Barbie yang diketuai wanita sangat membanggakan hingga mereka juga ada pemenang Nobel sendiri.

Kembara mencari diri

Tanpa diganggu oleh mana-mana fahaman politik ekstrem yang kemaruk meruntuhkan kerajaan pilihan rakyat, kehidupan mereka di sana cukup rukun dan damai.

Sehinggalah secara tiba-tiba Barbie menghidapi sejenis sakit misteri. Sakit yang pada mulanya hanyalah konflik peribadi tapi akhirnya melarat hingga mengakibatkan tumit kakinya tidak lagi seperti Stereotypical Barbie.

Kecacatan itu sebenarnya bermula oleh rasa yang ditimbulkan oleh dirinya sendiri. Ketika itu dia mula mempersoalkan kewujudan dirinya dengan pertanyaan berkenaan mati.

Ambiguiti konflik eksistensialisme yang dideritai Barbie segera mendapat perhatian. Dek kerana dikhuatiri akan lebih memudaratkan, dia disaran agar segera menemui pawang Weird Barbie untuk mendapatkan penawar.

Dari situlah pengembaraan Barbie mencari dan mengenali diri bermula.

Kaitan konflik eksistensialisme Barbie terjawab sebaik dia memuji kecantikan seorang wanita tua di perhentian bas semasa dalam pengembaraan ke dunia nyata.

Dari pengalaman pengembaraannya itu akhinya Barbie tahu kewujudannya dimiliki oleh pemikiran, perasaan dan etika diri sendiri.

Dirinya unik kerana dia bebas daripada kongkongan pemikiran sesiapa. Dia merdeka memilih atau menentukan apa sahaja yang diingini dalam hidup. Itu kemudian menjadi jawapan kepada makna kehidupan terindah, nyata dan punyai makna dalam berbahagia.

Pertentangan kuasa dalam Barbie sangat halus tapi bermakna.

Perebutan kuasa-kuasa ideologi yang ditonjolkan dalam filem itu akan membuat kita bertanya tentang diri kita.

Apa pun soalannya, Barbie memberitahu kita bahawa permusuhan yang wujud dalam kalangan kita berpunca oleh kerana kita tidak kenal siapa kita yang sebenar.

Sebab itu kita sanggup menghabiskan tenaga untuk bertelagah sesama sendiri dan saling bermusuhan dengan saudara seagama demi mengangkat manusia tamak menjadi ketua.


HARIS HAUZAH ialah seorang lelaki biasa yang berasa dirinya punya kuasa luar biasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.