Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kes saman selesai, Caprice mohon maaf kepada SM Faisal

Kes saman Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap Caprice, selesai secara baik selepas penyanyi rap itu membuat permohonan maaf kepada ahli perniagaan berkenaan, di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili SM Faisal selaku plaintif berkata kedua-dua pihak, telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu.

Beliau berkata antara terma yang dipersetujui termasuk defendan iaitu Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli, perlu memuat naik permohonan maaf di Instagram miliknya dalam tempoh 48 jam, manakala terma-terma lain termasuk kos, tidak boleh didedahkan secara terperinci.

“Defendan juga telah membuat permohonan maaf kepada plaintif, secara bersemuka,” katanya kepada pemberita selepas prosiding penyelesaian kes direkodkan di dalam kamar Hakim Azian Othman, yang turut dihadiri peguam Harjoth Singh mewakili Ariz.

Pada 15 Ogos 2022, SM Faisal menyaman Caprice atas dakwaan artis berkenaan memuat naik hantaran berbaur fitnah di Instagram miliknya, yang mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya Emilia Hanafi.

Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos, selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, SM Faisal berkata beliau gembira kes saman itu akhirnya dapat diselesaikan secara baik, manakala Ariz memberitahu dia akan memuat naik permohonan maaf terhadap plaintif dalam Instagram miliknya.

Semakan di Instagram milik Caprice mendapati penyanyi itu telah memuat naik permohonan maaf yang sebagaimana dipersetujui kedua-dua pihak.

- Bernama