ULASAN | Finas yang pandai bikin masalah
ULASAN SENI | Semenjak khidmat Prof Md Nasir Ibrahim sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Finas ditamatkan lima bulan lebih awal dari kontraknya pada 1 Jun lalu entah apa gamaknya berlaku.
Apa yang kita tahu, kerusi CEO itu masih kosong dan segala urusan berkaitannya kini dilaksanakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas, Rozita Waty Ridzuan yang diberi tanggungjawab memangku jawatan berkenaan.
Md Nasir yang mengambil alih jawatan CEO daripada Ahmad Idham menyifatkan penamatan kontrak dengan notis 24 jam sebagai mengejutkan. Bahkan mungkin boleh saja kita menganggap ia menghairankan.
Hal itu kerana Md Nasir (gambar, bawah) mendakwa dia tidak pernah dipanggil untuk membela diri mahupun menjelaskan apa-apa isu termasuk perancangan yang telah dirangkanya kepada lembaga pengarah mahupun menteri.
Justeru dia tidak menolak kemungkinan penamatan khidmatnya ada kaitan dengan komplot pihak tertentu bagi menjatuhkan kredibilitinya.
Apakah yang telah dan sedang berlaku dalam Finas sebenarnya?
Selepas kontrak Md Nasir ditamatkan sehingga kini Finas masih gagal menamakan individu yang 'terpaling layak' untuk mengisi kekosongan dicipta mereka.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil penamatan kontrak Md Nasir adalah keputusan ahli Lembaga Pengarah Finas yang dilakukan atas keperluan melaksanakan penyelarasan dasar agensi tersebut.
Tanda tanya kelewatan lantikan
Finas pula memaklumkan keputusan itu dibuat selepas melihat ada keperluan untuk mereka melaksanakan penstrukturan semula ke atas dasar, program dan aktiviti kreatif bagi menghasilkan filem tempatan yang berkualiti.
Apa benarkah selepas penstrukturan semula itu nanti Finas akan jadi bertambah kreatif dan mampu menghasilkan lebih banyak filem yang berkualiti?
Sedangkan apa yang kita lihat setakat ini hanyalah percaturan politik dalam Finas yang menukar ganti CEO, ahli lembaga pengarah dan pengerusi tanpa badan itu pernah membuktikan mereka memang mampu memajukan atau memantapkan industri filem.
Maka itu sangat munasabah untuk kita bertanya: apakah yang sebenarnya sedang berlaku dalam Finas?
Siapakah individu yang dimaksudkan Md Nasir sebagai "pihak" yang mahu menjatuhkan kredibilitinya?
Atau sebenarnya, adakah alasan penamatan kontrak yang diberikan itu hanya suatu jawapan ‘standard’ Finas atau menteri saja bagi menutup silang-silang percaturan kuasa yang sedang berlaku?
Mungkin itu yang membuat seniman veteran seperti Ahmad Tarmimi Siregar (gambar, bawah) turut menyatakan rasa terkilan selepas 'kerusi panas' itu sering kali diganggu.
Persoalan yang mahu dibangkitkan ini mungkin ada kaitannya dengan sebab mengapa proses perlantikan CEO baru berhadapan dengan kelewatan.
Pertama, adakah ‘korum’ keanggotaan ahli Lembaga Pengarah Finas sekarang benar-benar memiliki syarat yang diperlukan serta memenuhi akta perbadanan berkenaan?
Untuk rekod sepertimana yang dapat kita lihat di portal rasmi Finas setakat 9 Julai lalu, keanggotaan ahli lembaga hanyalah terdiri daripada empat orang bersama satu pengerusi.
Keadaan ini jauh berbeza daripada apa yang kita ketahui sebelum ini, yakni keanggotaan lembaga seharusnya terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi selain tujuh ahli.
Perkembangan yang kabur
Justeru apakah masalah 'belum cukup korum' itu sendiri suatu masalah sehingga menyebabkan proses memilih dan membuat pelantikan lain tertangguh?
Andai itulah masalahnya, mengapa begitu banyak masa dibuang dan dibazirkan? Mengapa isu ‘korum’ itu tidak cepat-cepat diatasi dengan membuat pelantikan lain bagi mencukupkan keanggotaan?
Apa yang lebih menghairankan adalah - nah, ini persoalan kedua yang mahu dibangkitkan; seandainya penamatan perkhidmatan seorang CEO boleh disegerakan, mengapa pula proses menggantikan penyandangnya kelihatan begitu sulit?
Ia mungkin dapat dijawab dengan mengandaikan sama ada orang yang di Finas melaksanakan kerja tanpa perancangan, atau sememangnya ada perancangan politik yang sedang giat berlangsung.
Seseorang dari Finas sendiri harus tampil menjawab semua persoalan ini.
Isu ini diajukan sebab terdapat banyak sekali kegusaran akibat perkembangan perjalanan industri filem yang semakin kabur, melemah dan mandom sekarang.
Ketiadaan seorang CEO untuk membuat keputusan-keputusan penting serta memberikan arah yang jelas untuk industri ini sememangnya harus ditangani segera berbanding hal-hal lain.
Cuma, apapun yang mahu dilakukan, siapapun yang mahu dilantik, Finas harus bertanggungjawab, berani dan jujur untuk menjawab segala kemelut yang sebenarnya mereka sendiri mulakan.
Finas tidak perlu lagi menjadi agensi kerajaan yang hanya pantas memecat tetapi tidak bijak melantik pengganti yang pintar serta sesuai.
Selepas kalian memulakan, mengapa tak reti menyelesaikan?
HARIS HAUZAH ialah seorang politikus kepada dirinya sendiri.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai