Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kes saman Puteri Sarah, Ira Kazar selesai

Kes saman difailkan pelakon Puteri Sarah terhadap bekas madunya Ira Kazar dan dua ahli keluarga artis itu mencapai titik noktah apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya secara baik di luar mahkamah.

Perkara itu disahkan oleh peguam Puteri Ummi Kartini Abd Latif yang mewakili Puteri Sarah selaku plaintif ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norakhmar Mohd Sani hari ini.

"Penghakiman persetujuan direkodkan di mana pihak-pihak telah menyelesaikan kes secara damai di luar mahkamah dan kes selesai," kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Ammar Ghalip yang mewakili Ira dan keluarganya mengesahkan perkara itu. 

Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah dengan pihak-pihak bersetuju dengan terma penyelesaian.

Pada Jun 2022, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, memfailkan saman terhadap Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin atas dakwaan mengganggu rumah tangganya melalui media sosial.

Selain itu, turut disaman ialah kakak Ira iaitu Yasmin dan bapa mereka yang juga pelakon veteran, Kazaruddin Saisi.

Pada 14 Jun lepas, Syamsul dan Puteri Sarah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Syamsul melafazkan cerai di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah pada 16 Jan lepas mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan hasil pernikahan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.