Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bayaran berlakon: Ikan kat pasar pun naik harga, kata Didie Alias

Selebriti Didie Alias tampil menjelaskan alasan mengapa dia meletak harga tertentu kepada pihak produksi yang ingin mendapatkan kemahirannya.

Didie yang mesra disapa Mummy mengulas demikian kerana wujud produksi yang menawarkan harga rendah dan tidak setimpal walaupun dia sudah lama berada dalam industri.

“Saya pernah terima undangan untuk membuat kemunculan khas tapi dengan bayaran hanya RM300. Selain itu, ada juga pihak yang menawarkan RM500 untuk kerja yang berdurasi hampir seharian.

“Saya ada cara untuk jadikan diri sendiri masih relevan. Jadi, kena faham bagaimana saya bekerja. Saya datang bekerja bukan dengan tangan kosong.

“Saya datang berlakon untuk setiap drama dengan baju baru. Jika babak itu memerlukan solekan khas, saya akan upah jurusolek sendiri. Itu semua memerlukan kos.

“Habis itu, datang ke lokasi bekerja tak naik kereta? Tak isi minyak? Adakah fikir saya kena naik basikal? Nak ambil bekerja, ambil… kalau tak nak; sudah. Ikan kat pasar pun naik harga,” kata pengacara dan pelawak itu.

Bagaimanapun, Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd @ Ali, berkata, dia terpaksa menolak tawaran untuk terbabit dalam projek baru itu kerana berasakan ia tidak berbaloi dengan ‘pelaburannya.’

“Dah tak ada (bayaran rendah) RM500 lagi dah zaman sekarang ini. Itu zaman dulu. Takkan kamu (produksi) nak main (letak) harga yang masih macam dulu pada zaman sekarang.

Sistem rating artis

“Sekarang ini untuk jemputan sebagai artis undangan bayaran paling minima adalah sekurang-kurangnya bermula dari RM2,000” katanya lagi.

Didie berkata disebabkan industri hiburan tanah air masih belum ada pengredan untuk rating seseorang pelakon maka isu bayaran rendah ibarat tiada kesudahan selain menyukarkan kehidupan pelakon senior khususnya.

Menurutnya, senario itu tidak berubah disebabkan memang ramai yang “terdesak” untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya kasihan ada dalam kalangan mereka itu terdesak dan amat memerlukan sebab mereka fokus pada berlakon dan tak pandai buat kerja lain.

“Kalau nak gredkan pelakon itu sama ada A, B atau C misalnya, sukar pula, sebab tak ada mekanisme mengenainya yang dibuat. Jadi ada yang terima juga bayaran rendah itu kerana terpaksa, kalau tak, mereka tak ada sumber kewangan.

“Tapi Mummy bersyukur masih boleh cari pendapatan sampingan selain daripada berlakon. Macam-macam yang Mummy buat sementara diri masih sihat.

"Jadi, Mummy akan lawan, kalau orang nak bayar murah, Mummy boleh tolak,” katanya.