Liyana Jasmay belajar dari pengalaman ibu menghidap kanser
Pemergian ibunya akibat kanser pada 11 Mei lalu membuatkan pelakon Liyana Jasmay mementingkan soal kesihatan diri kerana bimbang mengalami masalah sama disebabkan faktor keturunan.
Justeru, Liyana berkata dia menitikberatkan soal pemakanan dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Sudah tentu saya bimbang. Sebab keluarga ada genetik kanser. Mak hidapi kanser otak, bapa kanser paru-paru, ibu saudara pula kanser payudara.
“Jadi, saya kena jaga pemakanan dengan baik. Seboleh-bolehnya saya cuba elak makanan bergula dan makanan diproses misalnya.
“Diri kita ialah apa yang kita makan,” katanya.
Bagi Liyana, pemergian ibunya, Habsah Simpon memberi kesan besar kepada dirinya dan keluarga.
Menceritakan penyakit yang dihidapi ibunya, Liyana berkata dia tidak menyangka sakit mata yang dialami Allahyarham mempunyai kaitan dengan tumor.
Dia dan suami, Fathuddin Mazlan hanya menyedari ada yang tidak kena selepas melihat Habsah berjalan secara senget selepas menjalani pembedahan.
“Lepas kami bawa dia jalani pemeriksaan baru tahu ibu sebenarnya menghidapi kanser.
“Sebelum itu tak tahu sebab ibu hanya mengadu sakit mata. Jadi kami pun bawa pergi periksa mata saja, bukan pemeriksaan kesihatan lain,” katanya.
Menurut Liyana, dia kini berazam untuk melakukan perubahan dari segi gaya hidup dan melakukan strategi kesihatan tertentu.
“Saya banyak belajar dari pengalaman lalu. Oleh itu, saya nasihatkan orang lain untuk amalkan diet sihat dan buat pemeriksaan kesihatan penuh,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai