Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | PBAKL dan penulis yang terpaksa mengemis

ULASAN | Sahabat yang sudah lama menjauh, tiba-tiba menelefon.

"Kawe terbit kumpulan puisi terbaharu, harap demo tolong support RM30. Harga anak beranak".

Dia ketika itu 'mengejar' kemeriahan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada  26 Mei hingga 4 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Bagi kebanyakan penulis, PBAKL adalah tempat untuk menjaja karya kerana selain itu lazimnya tiada lagi ruang untuk penulis bertemu pembeli buku dengan meriah.

Selepas Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) mengurangkan operasi, penulis menjadi seperti anak ayam kehilangan ibu kerana terpaksa mencari-cari dana untuk menerbitkan buku.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata tidak mampu menampung lambakan manuskrip yang banyak dan itu memaksa penulis menerbitkan sendiri karya masing-masing.

Sejak tiga tahun lalu ramai yang mengumpulkan wang sekali gus mengumpul karya untuk diterbitkan. Sasaran mereka ialah PBAKL yang menjadi sandaran memasar dan mempromosikan karya.

Gagal mengajar masyarakat

Apabila buku tersebut tidak mendapat sambutan, ramai juga penulis yang berhutang dengan kawan-kawan yang menjadi penerbit berskala kecil.

Dalam kalangan penulis marhaen, kerja menerbit buku adalah bebanan yang berat. Bukan sahaja kos cetak perlu diutamakan, bahkan kaedah untuk memasarkan karya.

Hanya berharap kepada simpati rakan penulis untuk mengurangkan bebanan tiada menjaminan pulangan modal.

 Sehingga kini nasib penulis tidak terbela kerana tiada siapa yang mampu melihat keadaan mereka. Persatuan penulis lebih kepada sekadar sorak-sorai sastera yang menghimpunkan pembodek yang menggunakan acara tersebut untuk menonjolkan diri sendiri.

Birokrat seni pula sekadar menjadi agensi yang tidak jelas fungsi mereka.

Isu sastera dan penerbitan karya bukan masalah baru di negara ini. Sejak awal merdeka kesusasteraan kita tidak pernah dianggap penting dalam perancangan pembangunan nasional.

Kerajaan mungkin boleh berbangga kerana mendirikan Muzium Sastera di Melaka namun penubuhannya tidak ubah seperti sebuah gudang menyimpan buku lama dan tidak berupaya mengajar masyarakat mencintai sastera.

Program mengembangkan seni dan budaya juga bagai hal pinggiran apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya lebih mengutamakan ikhtiar menarik pelancong.

Keadaan itu sekali gus mengabaikan perkembangan kebudayaan dan kesusasteraan sebagai wadah pengucapan intelektual bangsa Malaysia.

Lebih malang apabila tiada program memperkenalkan sastera kepada pelancong asing apabila mereka dibiarkan untuk leka mendongak ke arah puncak Menara Berkembar Petronas, belayar di sepanjang Tasik Putrajaya atau berjemur di pasir pantai Langkawi.

Tidak berlaku di Malaysia

Sejak awal lagi ada pihak  yang meragui kewujudan kementerian yang menggabungkan hal pelancongan dan kebudayaan sekali gus. Ia tidak wajar dan tidak menunjukkan iltizam kerajaan.

Hal itu kerana sektor pelancongan lebih mengutamakan material berbanding kebudayaan yang menjadi ramuan penting sebagai santapan minda.

Malangnya hal itu dibiarkan.

Jika negara lain berbangga dengan karya sastera dan budaya masing-masing, kita pula lebih berahi bercakap mengenai industri pelancongan yang sekadar melawat kawasan gunung, pantai, menara pencakar langit, pusat beli-belah dan Batu Caves.

Di luar negara, pengunjungnya kerap dihidangkan dengan pelbagai maklumat mengenai seni setempat termasuk apabila mengunjungi rumah kelahiran penulis tersohor atau pusat pengajian yang mendidik mereka.

Muzium Sastera memaparkan karya sebagai rujukan kehadiran sasterawan besar sesebuah bangsa. Ramai pelancong menghargai apa yang dilakukan  di Scotland dan Ireland, tapi tidak di Malaysia!

Di Edinburgh misalnya, stesen kereta api utama dinamakan Edinburgh Waverly Station. Waverly ialah nama novel Sir Walter Scott, pengarang besar Scotland yang turut menulis Ivanhoe.

Lebih menarik lagi, novel Waverly boleh dibeli dengan mudah di mana-mana kedai buku di sekitar Edinburgh, hatta di kedai runcit!

Di Lake District, sebuah daerah Barat Laut England, sastera menjadi  tarikan apabila nama Samuel Taylor Coleridge, Beatrix Potter dan William Wordsworth  dipaparkan sebagai The Lakeland Poets.

Tempat wajib lawat

Ramai sasterawan Malaysia yang ke sana pasti tidak akan melepaskan peluang menikmati karya besar Inggeris.

Muzium yang dinamakan Dublin Writers Museum menjadi tarikan di Dublin. Ia menyimpan karya berharga selain bahan peribadi penulis. Antaranya mesin taip, pena, manuskrip, buku serta alat yang berkaitan dengan George Bernard Shaw, Oscar Wilde, James Joyce dan  WB Yeats.

Begitu juga  Stratford-upon-Avon yang amat sinonim dengan Shakespeare atau rumah Charles Dickens di London, atau 221B Baker Street, London yang menjadi kediaman watak Sherlock Holmes karya Arthur Conan Doyle,

Begitu juga Bath di England yang diabadikan oleh Jane Austen di dalam novel Persuasion dan Northanger Abbey.

Malangnya karya A Samad Said, Anwar Ridhwan, Usman Awang dan  S Othman Kelantan tidak diketahui pelancong kebanyakan. Ia hanya dikenali segelintir pengkaji seni Barat.

Dalam hal ini peranan kementerian bukan sekadar mempamerkan karya, sebaliknya membawa pelancong mendekati karya tempatan.

Agensi pelancongan pula perlu mencatatkan kunjungan ke Muzium Sastera sebagai satu daripada rangka lawatan wajib pengunjung di Malaysia.  

Namun pada masa sama muzium itu yang terletak di bangunan lama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka pula masih jauh daripada kesempurnaan.

Muzium berkenaan menyimpan sejarah penulisan dan pengkaryaan bermula dari era awal cerita-cerita rakyat, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hukum Kanun Melaka, Munsyi Abdullah dan beberapa karya moden.

Untuk yang terlupa atau terlepas pandang, pesta buku sedang berlangsung di Kuala Lumpur sekarang. Selamat berpesta. Dan selamat mengemis juga kerana pengemisan seni mungkin sebahagian daripada agenda PBAKL!


IMLAN ADABI ialah mantan wartawan Berita Harian dan penulis yang tiada kluster mahupun kasta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.