Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Aaron Aziz minta maaf letak ular sawa atas sangkar kucing

Pelakon Aaron Aziz tampil mengakui kesilapannya ekoran perbuatan memuat naik video tular yang memaparkan dia meletakkan seekor ular di atas sangkar kucing melalui satu siaran langsung di Instagram miliknya.

Pelakon kelahiran Singapura itu berkata, dia bertindak demikian atas arahan produksi penggambaran malah menegaskan dirinya sebagai seorang pencinta kucing.

Katanya, tidak mungkin dia akan sanggup untuk menzalimi haiwan itu dalam apa bentuk keadaan sekalipun.

“Ya saya buat siaran secara langsung itu, jadi silap saya kerana berkongsi video berkenaan. Ia adalah pertama kali saya berlakon dengan ular, jadi mungkin saya terlebih ghairah di situ.

“Saya ada sembilan ekor kucing, tak mungkin saya akan zalimi haiwan itu. Dan saya yakin, kru penggambaran juga tak sanggup untuk menzalimi kucing.

“Siapa nak maki saya bodoh boleh teruskan,” katanya di media sosial malam tadi.

Siaran langsung memaparkan pelakon KL Gangster itu 'bermain' dengan ular tersebut ketika menjalani sebuah penggambaran.

Aaron kemudian dilihat meletakkan reptilia berkenaan di atas sangkar yang mempunyai beberapa ekor kucing di dalamnya.

Tekanan, trauma, ketakutan

Susulan video tular itu, Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) tampil menegur perbuatan Aaron yang disifatkan tidak sensitif terhadap haiwan.

Menurut MAA, perbuatan tidak bertanggungjawab itu akan mengakibatkan kucing mengalami tekanan dan trauma melampau kerana berasa terancam melihat dan bau musuh berdekatan.

Menurut persatuan itu, aksi meletakkan ular sawa berdekatan kucing, walaupun dalam keadaan bersangkar boleh menyebabkan haiwan itu ketakutan memandangkan ular dan kucing adalah dua entiti pemangsa dan mangsa.

Bagaimanapun, Malaysiakini mendapati video tersebut sudah dipadamkan pada hari ini.

Aaron, 47, mengaku kesal kerana babak sepatutnya menunjukkan dia prihatin terhadap haiwan berkenaan tidak ditunjukkan kepada umum.

“Pertanyaan saya berkali-kali kepada pemilik ular berlesen tentang keadaan kucing tak ditunjukkan.

“Saya diberitahu ular tersebut makan arnab, bukan kucing. Tapi, memang salah saya sebab muat naik video itu.

“Saya sendiri sentiasa memerhatikan gerak-geri kucing sekiranya muncul tanda-tanda tekanan, kami akan berhenti daripada teruskan penggambaran,” katanya.