Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hafidz dakwa isteri sengaja gugur kandungan

Pelakon Hafidz Roshdi sedih saat ditanya berkenaan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri yang mengalami keguguran pada hari kedua Hari Raya Aidilfitri.

Hafidz mendakwa dia sebelum ini menerima mesej daripada Shuhada yang meminta izin untuk menggugurkan kandungannya.

“Saya rasa sangat sedih atas keguguran itu. Terus terang saya kata, saya sangat sedih apabila pada 5 Mei lalu, saya menerima berita Shu keguguran anak ketiga kami.

“Semuanya dalam siasatan pihak polis. Semoga semuanya dapat diselesaikan dengan baik,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Hafidz, berkata Shuhada memberi banyak alasan untuk menggugurkan kandungan, antaranya agar dia boleh memberi tumpuan kepada kehidupannya yang baru.

“Saya dapat tahu mengenai kehamilannya selepas dia mesej saya. Dalam kiriman WhatsApp, dia beritahu saya bahawa dia nak gugurkan kandungan. Jadi, saya buat laporan polis untuk perkara itu.

“Alasannya, panjang. Tapi, salah satunya adalah dia nak fokus kepada hidupan baru. Lagi satu, katanya nak bela dua anak pun dah setengah mati, tambah pula kalau tiga?

“Tapi, tahu-tahu saja, dia sudah keguguran. Bila dapat tahu dia keguguran, saya terpaksa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.

Hafidz Roshdi

Tambah Hafidz, dia menghalang Shuhada daripada meneruskan hasratnya untuk menggugurkan kandungan.

“Dia ada meminta duit daripada saya untuk kos pengguguran. Saya tak tahu, sebab dia tak ada bukti resit atau hospital. Jadi, saya kena tahu mengenai itu.

“Saya tak bersetuju untuk dia gugurkan kandungan. Saya dah halang dia dan dah cakap, jangan gugurkan. Jaga baik-baik (kandungan) sebab saya akan bertanggungjawab.

“Saya halang melalui mesej di WhatsApp sewaktu dia mesej saya. Selepas berita keguguran itu, saya tak ada menghubunginya lagi,” katanya.

Peguam Syarie yang mewakili Hafidz, Akberdin Abdul Kader berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada peguam Shuhada sebelum berita keguguran itu tular pada April namun kandungan itu gugur keesokannya.

“Hafidz kemudiannya membuat laporan polis pertama, mengatakan dia menerima kiriman mesej daripada isterinya itu dan dia sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan untuk menggugurkan kandungan itu.

“Apabila dia mendapat tahu berita keguguran itu, Hafidz terperanjat dan terfikir sama ada ini kebetulan atau apa.

“Jadi, dia membuat satu lagi laporan polis, mengatakan bahawa ini satu kesalahan jenayah yang mana, melakukan keguguran dengan sengaja," katanya.

Hafidz dan Shuhada hari ini hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk menyelesaikan isu kes lafaz cerai di luar mahkamah.

Mahkamah menetapkan 20 Jun untuk menyambung perbicaraan sebelum membuat keputusan mengenai lafaz cerai di luar mahkamah itu.

Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian pada 27 Februari lalu, atas persetujuan kedua-dua keluarga.

Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.

Terdahulu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz melafazkan cerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Mahkamah membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000 selain turut memerintahkan pelakon itu dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.