Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Michelle Yeoh mahu pupuk bakat filem tempatan

Michelle Yeoh berharap kejayaannya baru-baru ini sebagai pelakon pemenang Oscar pertama di Asia dapat membantunya menyokong bakat pembikinan filem di negara asalnya Malaysia.

Hari ini, Yeoh kembali ke tanah air untuk menghadiri majlis sambutan peminat buat kali pertama sejak dia merangkul Anugerah Akademi.

Yeoh, 60, memenangi Oscar untuk wataknya sebagai pemilik kedai dobi Cina Amerika Evelyn Wang dalam komedi kung fu sains fiksyen, "Everything Everywhere All at Once".

"Saya tahu ada pembikin filem yang hebat dari bahagian dunia kita ini dan kita hanya perlu, pertama sekali, kita perlu mencipta peluang untuk mereka.

"Kita perlu mencipta platform yang akan mempamerkan bakat mereka," kata Yeoh pada sidang akhbar majlis bersama peminat di Kuala Lumpur.

"Jadi, saya mahu bekerja rapat dengan ketua studio di sini, orang yang boleh membuat perubahan, orang yang boleh mendorong jalan ke hadapan."

Berpakaian seluar jeans longgar dan blaus, terpampang gambar Yeoh sambil tersenyum bersama anugerah Oscarnya di hadapan papan tanda bertulis "kebanggaan Malaysia".

Dia kemudiannya berjalan ke arah peminat yang tidak sabar-sabar mengerumuninya untuk merakam kepulangan pelakon itu pada telefon pintar mereka sambil anggota keselamatan memasang penghadang dan membuka laluan.

Yeoh menempa kejayaan di Hollywood sebagai gadis Bond etnik Cina pertama dalam filem "Tomorrow Never Dies" pada tahun 1997 bergandingan bersama aktor Pierce Brosnan.

Dia juga membintangi "Crouching Tiger Hidden Dragon", "Memoirs of a Geisha" pada 2005 dan komedi romantik pada 2018 "Crazy Rich Asians".

Ini merupakan pencalonan Oscar pertama Yeoh dan dia secara meluas dianggap sebagai pilihan.

"Saya mendengar laungan keriangan, kegembiraan dari seluruh dunia ke Los Angeles," katanya kepada peminat, sambil mengimbas kembali saat dia diumumkan sebagai pemenang Oscar.

"Saya berterima kasih kepada anda semua kerana telah melalui perjalanan itu bersama saya kerana saya merasakan sokongan anda, saya merasakan kekuatan anda, kerana ia adalah perjalanan yang sukar."

Laporan oleh Ibrahim Harris; Penulisan Zahra Matarani dan Martin Petty; Suntingan oleh Sharon Singleton.

- Reuters