Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Mengharap bandar sastera di Malaysia

ULASAN | Apa yang ingin disaksikan oleh pelancong apabila mereka datang ke Malaysia?

Adakah untuk mendongak-dongak bagi menatap menara berkembar yang mengangkang di udara, atau menjenguk Petaling Street yang kira-kira sama dengan China Town di New York dan Ottawa?

Atau mereka mahu ke Langkawi yang sekadar sebuah pulau bebas cukai untuk membeli rokok, coklat dan minuman keras?

Sekali lagi saya tanya: orang luar ke Malaysia untuk lihat apa?

Untuk melihat politik yang kotor dan korup macam kes 1MDB, atau apa?

Di mana seni kita? Di mana budaya kita? Di mana sastera kita untuk dihayati oleh tetamu asing?

Mana peribadi kita jika sekadar mampu berbahasa Ingggeris tapi gagal mengangkat citra peribadi ke tahap yang sepatutnya?

Malaysia memang sering mudah teruja untuk sesuatu yang tidak sepatutnya dipesonakan. Pelantikan Awang Sariyan sebagai senator bukan untuk dibanggakan oleh kalangan pencinta bahasa dan sastera kerana dia mempunyai tugas yang besar.

Jika dulu Awang sekadar sifu di universiti dan penghulu di Dewan Bahasa dan Pustaka, kini tugasnya lebih besar kerana dia perlu bersuara mengangkat kepentingan sastera dan bahasa di Dewan Negara.

Macam juadah di bazar Ramadan

Awang ada kuasa memberi undi menyokong atau menolak rang undang-undang yang dibawa dari Dewan Rakyat. Dia perlu sedar ribuan sasterawan, ahli bahasa, sarjana - dan pembodek - mengharapkan Malaysia diiktiraf sebagai negara seni, atau setidak-tidaknya bandar sastera yang bertaraf dunia.

Semua pemimpin negara hingga kini belum terfikir untuk melahirkan bandar sastera di Malaysia sedangkan mereka juga yang menyelongkar kata-kata indah sastera dan bait-bait puisi dalam ucapan dengan harapan dapat lebih meyakinkan massa.

Memang kita belum terfikir untuk mewujudkan bandar sastera di Malaysia kerana pimpinan politik lebih seronok bercakap tentang pembangunan ekonomi dan sahsiah bangsa.

Mereka tidak tahu bahawa Malaysia tanpa sastera tentunya akan menjadikan negara laksana juadah berbuka puasa di bazar Ramadan - nampak cantik di mata namun mengecewakan di jiwa.

Bandar sastera belum pernah disuarakan kerana orang politik lebih berminat kepada kuasa dan kroni. Di belakang mereka adalah kapitalis yang membantu mengekalkan kuasa.

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sudah mengiktiraf beberapa kota besar dunia sebagai bandar sastera yang turut dipromosikan dalam peta pelancongan global.

Pemegang taruh sektor pelancongan bekerjasama dengan Unesco untuk 'mewajibkan' pelancong ke kota berkenaan yang dianggap sebagai nadi pembinaan sahsiah manusia. Malangnya nama Malaysia tidak tersenarai.

Pada 2004 Unesco memperkenalkan rancangan Creative Cities Network untuk menjenamakan City of Literature yang mempromosikan penyebaran perniagaan budaya kecil, acara dan keusahawanan yang berkaitan dengan pelbagai seni, termasuk sastera.

Lima kota terpilih iaitu Edinburgh di United Kingdom, Melbourne (Australia), Iowa (Amerika Syarikat), Granada (Sepanyol) dan Baghdad (Iraq).

Edinburgh di Scotland adalah yang pertama dilantik oleh Unesco sebagai bandar sastera kerana warisan budaya kepengarangan - daripada Walter Scott ke JK Rowling.

Melbourne diiktiraf bandar sastera pada 2008 kerana potensi rangkaian penerbitan terbesar dan empat festival sastera: Melbourne Writers Festival (yang terpenting), Overload Poetry Festival, Alfred Deakin Innovation Lectures dan the Emerging Writers' Festival.

Kota yang menggembirakan

Iowa dianggap salah satu perintis dalam pengajaran penulisan kreatif, dengan beberapa bengkel di universiti selama hampir 100 tahun.

Paling menakjubkan seramai 25 graduan kolej memenangi Hadiah Pulitzer, termasuk John Irving atau Robert Hass. Lebih 180 acara sastera diadakan setiap tahun, kedai buku seperti Prairies Light Books diserbu dan 11 rumah penerbitan berkumpul di Iowa.

Unesco mengiktiraf Andalusia pada 2014 kerana daya tarikan budaya yang ada di situ. Beberapa sungai dan kebun memberi inspirasi kepada seniman Al-Andalus dan yang lain kemudian seperti Washington Irving atau Salman Rushdie.

Di samping itu, puisi lebih daripada sekadar berakar di kota: dari dinding Alhambra apabila ayat-ayat al-Quran bersinar hingga perayaan Festival Puisi, alasan yang menyebabkan Granada juga melamar reka bentuk Bandar Puisi.

Baghdad masih mempertahankan daya tarikan eksotik masa lalu, seperti Hikayat Seribu Satu Malam. Dunia Arab melihatnya kota yang paling menggembirakan.

Gambar hiasan

Penyair Abu Al Tayeb Al Mutanabbi masih dianggap seniman terbaik Arab sejak berabad-abad silam. Kota itu juga masih megah dengan House of Wisdom yang menyimpan manuskrip dalam bahasa Syria, Yunani atau Parsi.

The Children Culture House, sebuah entiti yang bertanggungjawab untuk menyebarkan sastera ke generasi baru, dan Rumah Puisi Iraq menjadi tempat pementasan yang diadakan hampir setiap hari. Bandar itu diiktiraf pada 2015.

Malaysia ada harapan untuk mendapat pengiktirafan tersebut jika ada usaha mempromosikan sastera dan budaya ke tahap tertinggi.

Mutakhir ini acara baca puisi bukan sahaja diadakan di pusat pengajian dan menjadi acara bulanan di Rumah Pena sejak 25 tahun lalu, bahkan di kediaman peribadi tokoh terkenal tempatan.

Sembang buku dan inteletual pernah diadakan di kediaman Zaini Ujang. Baca sajak dan jual buku di rumah Mohd Khair Ngadiron. Terbaharu artis Ferri Anugerah Makmur anjur baca puisi di rumahnya.

Peguam dan penyair Wanrazuhar (Radzuan Ibrahim) selalu Presiden Pemuisi Nasional menjadikan pejabat guamannya sebagai ruang bersajak dan temu seni sejak beberapa tahun.

Iltizam seni sudah ada. Kita menanti kerajaan madani berusaha melobi untuk bandar sastera di Malaysia. Kita ada ratusan ribu buku yang terkumpul di rumah A Samad Said yang boleh menjadi khazanah terbuka di premis yang lebih sempurna.

Kita ada lebih sedozen sasterawan negara dan seniman terbilang dalam pelbagai sektor. Tokoh bahasa dan sastera sudah dilantik senator. Namun sehingga kini kita belum ada bandar sastera. Di mana salah kita?


IMLAN ADABI ialah sasterawan yang menolak fahaman kluster dan kasta sastera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.