Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aaron Aziz bersumpah bersaksikan al-Quran, dedah kehendak Syamsul

Tiada cara lain untuk bersua muka dengan Syamsul Yusof, pelakon Aaron Aziz akhirnya menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan yang terbuku terhadap pengarah The Original Gangster itu.

Sambil memegang al-Quran, Aaron bersumpah dengan nama Allah apa yang keluar daripada mulutnya itu didakwa semuanya benar.

“Kepada orang lain yang nak sangat tahu apa berlaku, Lillahi Taala, depan al-Quran, aku tak bohong. Kalau kau nak cakap aku bohong, kau jawab sendiri kat Padang Mahsyar, Allah sebagai saksi aku.

“Aku ajak kau jumpa supaya kau boleh tengok aku dah kurus, kau tak nak. Bila kau nak, kau datang rumah dengan cara baik. Tapi bila tak nak, kau buang aku macam sampah,” katanya dalam satu klip video.

Luahnya dalam nada kecewa, dia telah melakukan pelbagai usaha untuk menurunkan berat badan termasuk menyuntik ubat untuk memastikan bentuh tubuh lebih ideal mengikut permintaan Syamsul.

“Kau cakap nak badan aku macam ni sambil tunjuk macam dalam gambar. Aku jawab; kalau nak badan macam ni kena cucuk, bro. Dan kau jawab; pergi cucuk.

“Aku cucuk (ubat) hari-hari macam orang gila, sakit pun sakitlah,” katanya mengulas isu bentuk fizikal tubuhnya yang dikecam sebagai gemuk oleh Syamsul dalam sidang media semalam.

Syamsul pada sidang media itu berkata, antara alasan Aaron digugurkan adalah kerana pelakon itu mempunyai masalah slipped disc (tulang belakang tidak selari), faktor bentuk tubuhnya yang gemuk serta sudah berusia.

Pengarah sensasi itu membuat kenyataan tersebut selepas Aaron meluahkan perasaan terkilan kepada media berhubung isu itu baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Aaron, 47, berkata dia berjaya menurunkan berat badan kepada 90 kilogram selepas menjalani pelbagai latihan intensif untuk menjayakan watak diberikan walaupun tempoh yang diberikan kepadanya amat terhad.

“Aku baru habis penggambaran untuk Geng Mamak, mereka beri aku enam bulan untuk latihan setiap hari, pergi gim.

“Bila kau datang untuk penggambaran, aku ada masa hanya tinggal sebulan saja untuk turunkan berat badan ikut macam kau nak walaupun aku sendiri tahu memang mustahil.

“Tapi aku cuba juga, tak apa. Setiap hari 1,000 kalori aku bakar. Bukti semua ada dalam WhatsApp,” katanya.

Bagi Aaron, sekiranya tiga kali Syamsul datang ke rumah untuk menawarkan watak dalam filem terbarunya, sudah tentu pengarah itu sedia maklum mengenai masalah kesihatan yang dihadapinya.

Malah dia mendakwa sudah bertanya terlebih dulu kepada pengarah terbabit mengenai keseluruhan adegan aksi yang perlu dijayakan.

“2022 kau datang rumah aku tiga kali, ingat nak berborak pasal KL Gangster, rupa-rupanya pasal filem lain (The Original Gangster).

“Jangan nak tipu cakap kau tak tahu aku ada masalah dengan leher. Aku tanya adakah filem ini banyak lawan dan kau cakap tak, tapi banyak main senjata.

“Orang suruhan kau datang rakam video sewaktu aku baru nak belajar dalam latihan. Sedangkan aku tak tahu pergerakan lagi waktu itu.

“Kalau dia cakap pengarah nak tengok, mesti aku buat yang terbaik. Ini tak ada kena mengena dengan ketangkasan aku. Benda pun berlaku waktu latihan,” katanya lagi.