Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PFM persoal larangan tayang filem Pulau di Terengganu

Gara-gara pengharaman filem Pulau, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) mempersoal keputusan kerajaan negeri dengan bertanya kewajaran di sebalik ketetapan tersebut.

Kata PFM selama ini kerajaan Terengganu mengutip cukai hiburan sebanyak 25 peratus bagi setiap filem yang ditayangkan di negeri itu tanpa mengambil kira klasifikasinya.

Presiden PFM, Pansha, berkata mereka kecewa dengan apa berlaku dan berasa terpanggil untuk bertanyakan kuasa siapa sebenarnya untuk membenarkan atau melarang sesebuah tayangan filem di pawagam.

Kata Pansha filem Pulau diklasifikasikan sebagai PG13 selepas beberapa babak dipotong dan ia mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk ditayangkan kepada umum di seluruh negara.

Namun katanya kerajaan Terengganu mengharamkan tayangan Pulau di seluruh negeri terbabit.

“Keputusan LPF tidak dihormati oleh kerajaan negeri, malah mereka memberi arahan kepada pawagam agar mengharamkan tayangan filem Pulau tanpa sebab.

“Ini menunjukan berlaku pertindihan kuasa di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Terengganu," katanya hari ini.

Menurut Pansha, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) juga meluluskan tayangan Pulau mengikut Peraturan Skim Wajib Tayang Finas.

“Ini juga tidak dihormati oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Ia secara langsung melanggar peruntukan Akta 244 (Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981) yang membuat pihak pawagam keliru, arahan siapa yang perlu dipatuhi mereka.

"Jika dilanggar siapa yang boleh mengambil tindakan, sama ada Finas atau PBT?" katanya.

Siapa lebih berkuasa

Dakwa Pansha, ekoran kekeliruan itu PFM membuat rayuan dan aduan rasmi kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, serta Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, pada 24 Feb lalu namun gagal mendapat sebarang hasil.

Pulau mengundang kontroversi selepas klip video promosi filem itu dimuat naik ke saluran media sosial dan dianggap sesetengah pihak sebagai memaparkan adegan soft porn.

Sebagai respons, pihak penerbit berkata, iklan acah itu hanya mewakili satu peratus daripada keseluruhan kandungan filem tersebut.

LPF pula membuat kenyataan bahawa Pulau adalah sebuah filem seram dan bukan porno. Bagaimanapun badan itu mengakui terdapat perbezaan kandungan di antara treler yang dimuat naik di media sosial dengan apa yang dikemukakan untuk penapisan.

Mengulas lanjut, kata Pansha, PFM tidak menghantar apa-apa rayuan kepada kerajaan Terengganu kerana kurang jelas berhubung peruntukan undang-undang untuk pengharaman tayangan.

Menurutnya, penerbit filem Pulau juga berkali-kali cuba berbincang dengan menjemput kerajaan Terengganu untuk sesi pratonton filem berkenaan tetapi tidak dilayan.

“Adakah kerajaan Terengganu akan bertanggungjawab atas kerugian pendapatan penerbit di Terengganu disebabkan arahan pengharaman tayangan yang telah mereka keluarkan?

“Dengan kemelut siapa yang lebih berkuasa - sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri ini - sudah pasti industri perfileman tempatan yang menjadi mangsa.

“Secara langsung ia mengganggu gugat proses pemulihan ekonomi industri perfileman negara ini.

"Ini juga memberi impak kepada penerbit atau pelabur dari luar negara yang mempunyai hasrat untuk melabur di sini.

“Justeru, PFM memohon perhatian dan pertimbangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memohon keadilan sekali gus membantu menyelesaikan isu ini dan bersama memulihkan semula industri perfileman tempatan yang telah teruk terkesan akibat Covid-19," katanya.