Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Alicia Amin sahkan penceraian

Pelakon dan model sensasi Alicia Amin mengesahkan sudah bercerai dengan suaminya, Farzan Iqbal semalam.

Alicia, 27, berkata, perceraian itu berlaku secara baik dan bukan disebabkan kecurangan atau gangguan pihak ketiga.

“Betul, kami dah bercerai secara baik. Kami pergi mahkamah sama-sama dan dia lepaskan saya dengan talak satu.

“Selepas hidup bersama sebagai suami isteri selama dua tahun, kami lebih mengenali diri masing-masing dan selepas perbincangan (untuk bercerai), kami putuskan bahawa lebih selesa sebagai kawan sahaja, bukan lagi pasangan suami isteri,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Menurut Alicia atau atau nama sebenarnya, Raja Alicia Raja Amin, lafaz cerai itu dilakukan di Mahkamah Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Tambah pelakon drama The Bridge itu, hubungan mereka sudah lama ibarat retak menanti belah.

“Kami masing-masing dah dewasa. Kami kahwin cara baik dan berpisah pun cara baik.

“Saya masih sayangkan Farzan dan dia seorang lelaki yang baik, tetapi jodoh sampai sini saja. Saya tak nak buruk-burukkan bekas suami kerana itu bukan cara saya.

“Kami sibuk dengan kerjaya masing-masing. Dia selalu di klinik sebab kerja sampai lewat malam sebagai doktor, saya pula selalu ke sini ke mari disebabkan kerja sebagai pelakon dan model,” katanya.

Untuk rekod, Alicia berkahwin dengan Farzan, seorang doktor perubatan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada Februari 2021. Mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Menurut Alicia, keputusan untuk bercerai dibuat selepas menghabiskan masa di Bali, Indonesia selama kira-kira sebulan baru-baru ini.

“Lepas balik, memang dah fikir habis bahawa sampai di sini saja jodoh kami. Dia dah keluar dari rumah cara baik dan saya doakan yang terbaik buat Farzan,” ujarnya.