Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Memadanikan industri filem tempatan

ULASAN SENI | Apakah yang kalian akan lakukan seandainya dilantik menjadi CEO sebuah perbadanan kemajuan filem nasional?

Kalau aku, aku akan memadanikan perfileman.

Hal ini dipertanyakan bukan kerana aku pernah diperolok dengan kata “mai jadi CEO” oleh seorang ketua pegawai eksekutif perbadanan perfileman negara suatu masa dulu.

Akan tetapi aku bertanya kerana ia menjadi sangat relevan selepas perdana menteri itu sememangnya dikenali sebagai seorang tokoh gerakan reformasi yang memperjuangkan banyak pembaharuan.

Walaupun ada rungutan apabila seni dan budaya dilupakan daripada susunan porfolio kabinet, namun tentu saja perdana menteri ke-10 itu ada alasan politik untuk melakukannya.

Sebagai seorang reformis, maka tentu saja dia sangat meraikan hal-hal ‘islah’ yang merintis jalan menghalakan negara dan rakyat ke arah perubahan.

Tentu saja dia tahu, usaha untuk memadanikan perfileman akan dapat menaikkan harakat pemikiran rakyat ke tahap yang lebih tinggi dalam aspek kematangan politik dan kewarasan kemanusiaan.

Dalam dokumen Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi Anwar Ibrahim ada menyatakan: “Pengajaran beberapa dekad ini harus menjadi asas untuk kita membina sebuah masyarakat madani yang bersifat ihsan, peduli, berkasih sayang, dan merasai keperitan orang miskin, yang terpinggir, dan yang sehingga kini diabaikan.”

Arah syarikat besar melabur

Nah cita-cita itu tentu sekali akan lebih mudah dan cepat tersampai ke tengah masyarakat sekiranya model pembangunan negara madani itu memanafaatkan seni dan budaya yang terkandung dalam filem yang kita hasilkan.

“Madani” yang diketengahkan Anwar hari ini mampu menjadi segyehwa yang pernah menjadi fenomena di Korea Selatan.

Segyehwa yang digerakkan Presiden Kim Young-sam adalah suatu jihad Korea Selatan bagi menjunjung citra kebangsaan dalam rangka mengantarabangsakan segala produk mereka.

Strateginya adalah membuka pasaran ekonomi dengan meletakkan produk negara itu merentasi batas geografi, politik, budaya dan sosial yang sebelum itu dilihat agak tertutup.

Melalui tekad politik yang dimulai dari dalam kepimpinan kerajaan kementerian berkaitan dengan pantas mengeluarkan arahan agar syarikat-syarikat gergasi negara itu melabur dalam industri muzik dan filem.

Ia dilaksanakan melalui inisiatif seperti inisiatif pembelian studio penerbitan, syarikat rakaman muzik serta beberapa penyedia dan pengeluar perisian.

Tindakan itu menjadi batu asas kepada penubuhan Kompleks Studio Namyangju, Majlis Filem serta Akademi Filem dan Kesenian Korea Selatan. Itulah yang kemudian menjadi batu loncatan kepada kebangkitan industri perfileman Korea Selatan.

Melaluinya syarikat multinasional seperti Chaebol, Samsung, Hyundai, Daewoo dan SK secara rasmi menjadi pelabur dalam industri perfileman.

Segyehwa berjaya menyatukan kumpulan pembikin filem dan pihak penerbit, agensi penyedia latihan, kelompok pempromosi, sektor pendidikan, syarikat pengedaran dan pempamer produk-produk perfileman dalam satu jaringan ekosistem yang signifikan dan kuat.

Bahkan ia berhasil membentuk sejenis perpaduan dalam kalangan rakyat Korea Selatan bagi melonjakkan produk kesenian mereka seperti Parasite dan Black Pink menjadi K-drama dan K-pop.

Bagi memadanikan industri perfileman negara, tiga langkah awal perlu segera dilaksanakan.

Pertama: lakukan rombakan. Anjakan dari aspek fungsi mesti cepat dilakukan. Finas harus dengan pantas dikembalikan ke matlamat asal penubuhannya. Dari situ Finas mampu menjelaskan semula kompas mereka dan merangka semula strategi dengan memberikan fokus penuh hanya kepada aspek pembangunan.

Elemen terpenting dalam rombakan tersebut ialah mengasing Finas dari hal ehwal pendanaan filem dengan meletakkan ia di bawah suatu badan bebas yang lebih telus dan professional.

Kedua: melaksanakan penjenamaan semula produk asas Finas seperti festival filem Malaysia. Setiap perancangan, gerak kerja pengurusan, proses dan sistem dalaman termasuklah atur cara dalam festival tersebut harus diperbaharui, perbetul dan ditambah baik.

Leraikan yang kusut

Juri-juri yang dijemput harus dalam kalangan orang yang profeional dan benar-benar berkelayakan. Sebaiknya biarlah tenaga dari luar ekosistem perfileman tempatan.

Bengkel, dialog, forum dan seminar berkenaan filem sewaktu festival perlu diperbanyakkan.

Rakyat harus difahamkan bahawa sesebuah festival filem bukanlah hanya kemeriahan majlis karpet merah dan majlis penerimaan anugerah.

Festival filem haruslah menjadi tapak mengumpulkan seluruh pemegang taruh dunia perfileman untuk bertemu, berbincang, bertukar-tukar pandangan, berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta menjelaskan apa itu filem yang bermutu kepada masyarakat.

Ketiga: mendapatkan input dengan menganjurkan kongres perfileman kebangsaan yang mungkin saja boleh diadakan secara dwitahunan.

Melaluinya para pemikir, cendekiawan, budayawan, pemimpin, para konglomerat seluruh pemain industri dan para penggiat dapat dikumpulkan. Kemudian gariskan resolusi buat industri perfileman sebaiknya.

Resolusi itu penting untuk merintis jalan bagi menetapkan apa jua perubahan dan pembaharuan yang kita perlukan. Segala langkah yang tersasar boleh diluruskan, yang kusut dileraikan dan mana yang sakit cepat-cepat dirawat.

Libat urus seluruh pemegang taruh dalam kongres seumpama itu akan dapat meluaskan pandangan pentadbiran Finas dalam mempertingkatkan prestasi perfileman negara.

Ia juga mampu meluaskan capaian jaringan serta menghubungkan pihak-pihak berkepentingan - seperti penerbit dan pawagam - agar masing-masing senantiasa berada dalam situasi menang-menang.

Tiga tindakan awal itu akan memudahkan langkah pengaktifan aktiviti-aktiviti pendigitalan seperti pengumpulan data graduan serta para pekerja industri perfileman.

Bahkan itu termasuk kerja menaiktaraf arkib perfileman serta merangka rancangan pemuliharaan filem-filem khazanah kebangsaan yang selama ini diabaikan.

Finas harus mengetuai kempen memadanikan industri perfileman ini dengan memberikan keyakinan kepada syarikat besar tempatan untuk turut serta sekali gus menjadi pelabur dalam misi ini.

Sepertimana yang disebutkan Anwar di dalam dokumen pentadbiran Perdana Menteri ke-10 itu: “MADANI: kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan, dan ihsan – kata kunci kepada sebuah agenda rakyat untuk membina masa hadapan yang madani buat Malaysia.”


HARIS HAUZAH ialah pengkritik filem yang menyara hidupnya dengan menjual besi buruk dan surat khabar lama.

Tulisan ini tidak semestinya mencermikan pendirian rasmi Malaysiakini.