Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Terengganu haramkan tayangan Pulau

Terengganu mengharamkan tayangan filem seram Pulau di negeri itu dan penerbitnya bimbang lebih banyak negeri akan mengikuti jejak itu.

Fred Chong yang dipetik Harian Metro berkata alasan yang diberikan untuk pengharaman itu adalah kerana Pulau mengandungi adegan keterlaluan.

"Alasan mereka filem itu mengandungi adegan-adegan yang keterlaluan. Walhal, belum ada sesiapa lagi yang menonton filem itu," katanya seperti dilapor.

Menurut Chong, dia dimaklumkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) semalam bahawa kerajaan negeri Terengganu melarang filem itu ditayangkan di tiga layar pawagam TGV di Kemaman, mulai 9 Mac lalu.

"Saya tak tahu selepas ini negeri mana pula yang akan mengikut langkah mereka.

"Saya rasa ini adalah langkah yang berbahaya kerana bermula dari tiga pawagam, mungkin boleh menjadi 30 atau 60 pawagam selepas ini. Bagi saya, ini tidak sepatutnya berlaku," keluhnya.

Chong menambah bahawa dia telah menulis surat rayuan, menggesa kerajaan negeri Terengganu menyemak semula larangan itu.

"Saya sudah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu dan mencadangkan kepada mereka, untuk saya ke sana bersama wakil dari TGV serta Finas, dan menayangkan filem itu kepada mereka.

"Dari situ, mereka sendiri boleh menilai sama filem itu sesuai ditayangkan atau tidak kerana filem ini sudah mengikut prosedur penapisan yang sepatutnya.

"Sekiranya saya mendapat maklum balas daripada pihak sana, saya sanggup ke sana pada Isnin ini untuk menayangkan filem itu kepada mereka," katanya.

Chong seterusnya mendedahkan bahawa penaja telah menarik diri daripada pembiayaan kira-kira RM500,000 dalam projek itu selepas kontroversi treler filem itu tercetus bulan lepas.

"Kos penghasilan filem ini mencecah hampir RM4 juta dan kami semua meletakkan sepenuh kerja keras kami dalam menghasilkannya.

"Jadi, apa yang berlaku memberi kesan kepada pihak kami terutamanya sebagai syarikat produksi. Malah, nak bayar kepada stesen radio supaya memainkan lagu OST Pulau pun, kami tak mampu," katanya.

Chong menyeru netizen yang menulis komen kecaman dan memboikot Pulau supaya menonton filem berkenaan terlebih dulu sebelum menilainya.

Pulau sebelum ini ditetapkan untuk ditayangkan di 75 pawagam di seluruh negara.

Filem seram itu mencetuskan kekecohan di media sosial selepas trelernya ditularkan.

Diarahkan oleh Euho, pelakon filem itu termasuk Aliff Satar, Amelia Henderson, Ikmal Amry, Joey Leong, Harris Annuar, Evie Feroza, Siew Pui Yi (lebih dikenali sebagai Cik Puiyi), Namron, Mark O’Dea dan Sabronzo Dolla.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, treler Pulau tidak sesuai untuk ditonton.

Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga menjelaskan bahawa filem itu bergenre seram dan bukannya lucah seperti yang didakwa sesetengah pihak.