Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Julie Sudiro meninggal dunia

Penyanyi veteran Julie Sudiro meninggal dunia akibat masalah paru-paru pada jam 9.30 malam tadi.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez, berkata, Julie, 78, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam.

“Hari ini saya betul-betul sedih menerima berita kehilangannya, secara peribadi Julie bagaikan kakak saya dan sering membimbing kami warga Karyawan dalam pelbagai perkara.

“Lebih 15 tahun arwah menjadi ahli jawatankuasa dan setiausaha kehormat kami.

“Ini kehilangan yang amat besar juga buat industri seni tanahair,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 9 Januari lalu, media melaporkan Julie dimasukkan ke hospital sama kerana berdepan masalah paru-paru.

Keadaan kesihatannya membuatkan penyanyi itu lemah hingga sukar berjalan dan sukar bercakap.

Dua tahun lalu, Julie atau nama sebenarnya, Raden Juariah Raden Sudiro menjalani hidup dengan tenang sebagai guru mengaji.

Antara mereka yang pernah bergelar anak muridnya termasuklah anak Allahyarham Seniwati Mariani, Shasha dan Dian P Ramlee.

Julie menempa nama yang agak ekslusif dalam industri tempatan dan dianggap sebagai diva dalam nuansa muzik keroncong dan Jazz.

Dia bukan saja dikenali di Malaysia dan Singapura malah di dunia.

Beberapa tahun kebelakangan ini Allahyarham sangat aktif mengadakan pelbagai kelas Al-Quran bagi mengisi masa dan ada adakalanya menerima jemputan mengadakan persembahan.

Jenazah akan dibawa esok ke Masjid Darul Ehsan Subang Jaya pada jam 11 tengah hari esok dan dijangka akan dikebumikan selepas solat zuhur.