Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Remy Ishak risau dirinya 'hilang' perlahan-lahan

Pelakon Remy Ishak mengakui masih takut-takut untuk bersemuka dengan orang ramai ekoran masalah mental dihidapinya sejak tiga tahun lalu masih belum pulih.

Kata Remy, sejujurnya dia tidak tahu punca yang menyebabkan dia mengalami keadaan sebegitu sehingga kini.

“Nak berdepan orang ramai tapi saya masih ada perasaan takut-takut,” katanya.

Pemilik nama penuh Mohammad Zalimei Ishak itu turut memaklumkan masalah itu terbawa-bawa hingga ke lokasi penggambaran.

“Waktu di set juga begitu, masih lagi berdepan situasi sama," katanya lagi.

Remy ditemui ketika majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Harum Malam di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Remy, 40, berkata setiap kali berdepan masalah itu dia akan cuba mengawal dirinya agar kekal tenang kerana jika tidak dikawal, dia akan terus ‘hilang’

“Saya tak boleh terus kalah denganp keadaan. Jadi saya kena kuatkan semangat untuk lawan.

“Kalau kalah saya akan hilang perlahan-lahan,” katanya.

Mengulas Harum Malam, Remy akui turut kecewa filem arahan Dain Said itu terpaksa ditapis Lembaga Penapis Filem (LPF) bagi membolehkan ia diklasifikasi dengan tahap tontonan P13.

Katanya, LPF wajar bersikap lebih terbuka dalam membenarkan kandungan kreatif tempatan untuk tayangan.

“Sekarang sudah zaman digital dan kanak-kanak boleh mengakses platform OTT pada bila-bila masa sekalipun tanpa pengawasan ibu bapa.

“Hiburan juga satu bentuk nasihat dan pada masa sama penonton bijak menilai apa yang mereka ingin tonton,” katanya lagi.

OTT, atau over the top, adalah perkhidmatan kandungan filem dan televisyen di internet, seperti Netflix.