Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketakutan-ketakutan Farid ketika ‘menjadi Anwar'

Bukan senang melakonkan watak Anwar Ibrahim, lebih-lebih lagi ketika dia dicop sebagai ‘public enemy’ (musuh awam) oleh musuh-musuh politiknya yang memegang tampuk kekuasaan.

Sekurang-kurangnya itulah yang dirasakan oleh Farid Kamil ketika penggambaran filem Anwar, the Untold Story yang berlangsung ketika presiden PKR itu masih menjadi ketua pembangkang.

“Boleh terjadi, kalau saya pergi (penggambaran di Indonesia) kemungkinan besar saya tak balik dari Indonesia.

“Atau saya balik Malaysia untuk pilihan raya (mengundi) dan kemungkinan besar saya tak balik ke Indonesia,” ujarnya kepada Malaysiakini kelmarin.

Farid dengan imej ‘ikonik’ mata lebam Anwar

Filem arahan pengarah terkenal Indonesia Viva Westi dan skrip tulisan kartunis terkenal Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar itu dijangka memasuki panggung wayang pada Aidilfitri, April depan.

Ia mengisahkan perjuangan Anwar–aktivis pelajar yang terjun ke bidang politik–di tahun-tahun akhir sebelum dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Farid akan bergandingan dengan bintang handalan negara seberang Acha Septriasa (bawah) yang membawakan watak isteri Anwar, Wan Azizah Ismail.

Mungkin ditangkap

Sementara itu, dalam wawancara khas di ibu pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya, Farid juga mendedahkan penggambaran dijalankan di Indonesia bagi mengelakkan kemungkinan diganggu pihak berkuasa.

Kalau penggambaran itu di Malaysia kemungkinan besar, (ketika) separuh penggambaran itu, akan ditahan atau ditangkap dan tidak diteruskan penggambaran tersebut. 

“Itu yang kita pergi ke Indonesia. Ini sebab Anwar masih dianggap sebagai public enemy (ketika itu),” ujar Farid. 

Menceritakan pengalamannya dengan produksi itu, Farid mengakui dia pada mulanya kurang berkeyakinan untuk melakonkan watak Anwar yang baginya seorang tokoh politik terkenal dunia.

Perkara itu, katanya, mendorong dia untuk memohon untuk bertemu sendiri dengan Anwar.

Malah, pertemuan itu bukan saja sekali tetapi dua kali. 

Kali kedua berlangsung ketika penggambaran sudah pun separuh jalan.

Dalam pertemuan kedua itulah, katanya, dia menyedari kesengsaraan yang dialami Anwar ketika ditahan polis kali pertama pada 1998.

“Tengah berborak itu, dia secara automatik membuka cermin mata dan saya dapat lihat ada sedikit kekurangan pada mata belah kanan dia (Anwar) dari segi otot mata bila dia angkat,” ujarnya.

Perkara itu, kata Farid mendorongnya untuk mengkaji dan melihat laporan kesihatan Anwar.

“Saya tengok laporan kesihatan apa semua, dia bukan manusia yang akan mencederakan diri sendiri.

“Jadi kupasan-kupasan itu yang menyebabkan saya merasakan saya perlu menggambarkan sesuatu yang bermakna untuk Anwar,” ujarnya merujuk kepada kesan mata lebam Anwar akibat ditumbuk ketika dalam tahanan.

Mahu naik motor ke Dataran Merdeka

Sementara itu, Farid juga mengenang semula bagaimana dia terdedah dengan perjuangan reformasi yang digerakkan oleh Anwar, 24 tahun dulu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak sempat mengenali secara dekat kerana dilarang oleh ayahnya.

“Ketika zaman Reformasi, saya baru habis SPM dan datang ke Kuala Lumpur untuk masuk universiti.

“Saya berada di universiti dan ketika itu berada di atas motor saya dalam perjalanan ke Dataran Merdeka untuk melihat sendiri tetapi ketika itu bapa saya telefon saya.

“Ayah saya kata, Kamil, kamu jangan nak pergi ya perhimpunan-perhimpunan itu.Kalau orang nombor dua Mahathir ke kilas macam itu sahaja, ini pelajar-pelajar (lebih mudah). Jangan pergi.

“Jadi kita berhenti,” kata anak kelahiran Kedah itu.

Farid berkata dia tidak menyangka setelah lebih dua dekad skrip itu ditulis dan dicipta untuk dilakonkannya. 

Katanya, dia dimaklumkan oleh produksi bahawa sebelumnya, sudah empat orang artis yang menolak untuk melakonkan watak Anwar. Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan nama pelakon itu.


Farid diwawancara oleh Alyaa Alhajri, Indra Sathiabalan dan Farah Ayuni Zulkefli.