Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rasa sakit Viva Westi hilang lepas tahu Anwar jadi PM

Sewaktu menyiapkan filem Anwar, The Untold Story, Viva Westi bukan saja gigih mahu melihat karyanya dihasilkan sebaik mungkin, tapi ada kesakitan yang turut dirasainya.

Rasa sakit itu memang real.

Kata Viva, semasa proses penggambaran filem tersebut berlangsung di Kalimantan, dia terjatuh dan mengalami kecederaan dan ia agak unik.

“Luka bahagian kanan muka itu agak sama dengan cedera Anwar Ibrahim,” katanya dalam temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Viva yang pernah memenangi anugerah pengarah terbaik Festival Filem Indonesia 2008 itu menjelaskan kejadian yang menyebabkan dia cedera pula berlaku pada petang 24 Nov tahun lalu.

Pada waktu yang lebih kurang sama pula ribuan kilometer dari situ, Anwar sedang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Namun pada ketika itu, kata Viva, dia tidak tahu atau mempunyai sebarang maklumat mengenai siapakah perdana menteri ke-10 Malaysia kerana sedang sibuk menyiapkan Anwar, The Untold Story berkenaan.

Namun katanya sebaik saja dia dimaklumkan bahawa Anwar sudah benar-benar menjadi perdana menteri, segala kesakitan yang dirasa seakan lenyap begitu saja.

Kata Viva, ada rakannya dari Kuala Lumpur menelefon untuk memaklumkan tentang keputusan pengumuman perlantikan perdana menteri Malaysia yang dinanti-nantinya itu.

“Dia menghubungi saya dan bertanya: Westi, kamu sudah tahu belum? Anwar sudah jadi perdana menteri!” kata Viva menceritakan detik perbualan tersebut.

Selepas dimaklumkan mengetahui tentang perlantikan itu, kata Viva dia begitu lega dan gembira.

“Jadi sakit ini, hilang!

“Ditambah lagi sakitnya makin hilang apabila baru menutup telefon, ada panggilan lagi yang menyatakan mereka mahu menyebarkan filem ini,” ujarnya.

Farid Kamil

Kemudian Viva bersama kru tersebut kembali meneruskan perjalanan mereka menyiapkan filem berkenaan di kawasan terpencil dan tidak mempunyai liputan isyarat telefon.

Filem Anwar, The Untold Story diusahakan sejak Ogos 2011 dan dijangka ditayangkan awal tahun ini.

Ia berkisah mengenai perjuangan Anwar membanteras rasuah dan tahun-tahun terakhir dia sebelum dipecat daripada kerajaan pada 1998.

Dalam filem itu, Farid Kamil akan memegang watak utama iaitu sebagai Anwar, manakala Acha Septriasa pula berlakon sebagai Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Satu lagi watak dalam filem itu ialah Dr Mahathir Mohamad yang dijayakan oleh Hasnul Rahmat.