Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Sambutan Duan Nago Bogho manifestasi rakyat Kelantan mahu panggung wayang'

Sambutan meriah terhadap filem Duan Nago Bogho yang dibawa khas ke negeri Kelantan sebelum tayangan rasmi bermula 19 Jan nanti disifatkan pengarah dan pelakonnya Sabri Yunus sebagai manifestasi kehendak rakyat negeri itu mahukan panggung wayang.

"Saya percaya memenuhi dua malam di dewan ini adalah satu manifestasi rakyat Kelantan mahukan panggung wayang.

"Saya berharap sangat bahawa suatu hari nanti ada sinar suria yang cerah untuk kita semua," katanya dalam ucapan ringkas sempena tayangan eksklusif filem berkenaan yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Kota Bharu, malam tadi.

Turut hadir Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Md Anizam Ab Rahman dan Pengerusi Persatuan Anak Seni Ucok Tara Kelantan (Kasut) Nawi Mahmood.

Tayangan khas pada 13 hingga 14 Jan itu dianjurkan kerajaan negeri Kelantan dengan kerjasama Kasut, JKKN Kelantan dan syarikat produksi Kalamarif Holdings Sdn. Bhd dan berjaya menarik penonton seramai 1,600 orang melalui dua kali siaran.

Kelantan merupakan salah sebuah negeri (selain Perlis) yang tidak mempunyai kemudahan panggung wayang sejak tahun 1990-an.

Isu kewujudan panggung wayang di negeri itu sering menjadi perbincangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bagaimanapun kerajaan negeri sebelum ini menegaskan ia tidak akan dibuka di Kelantan.

Sementara itu Sabri berkata, naskhah Duan Nago Bogho merupakan satu manifestasi jadi tiri dan jiwa yang ada pada setiap orang Kelantan.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah mewakili filem Kelantan semata-mata sebaliknya menyatakan gambaran sebahagian wajah Melayu Nusantara.

"Filem Duan Nago Bogho bukan semata-mata filem untuk orang Kelantan sebaliknya filem Malaysia, tetapi meminjam jiwa, latar kehidupan dan watak-watak orang Kelantan untuk menyatakan inilah Melayu nusantara," katanya.