Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tengku Permaisuri Norashikin rasmi pameran kucing jalanan di USM

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Pameran Kucing Jalanan 2023 Universiti Sains Malaysia (USM), di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF).

Tuanku dalam ucapan perasmiannya bertitah pameran bertemakan Pameran Oyen: Cerita Tentang belas itu adalah usaha diperkenalkan bagi menggambarkan realiti kehidupan kucing jalanan yang kurang mendapat perhatian masyarakat kebelakangan ini.

"Bertemakan belas iaitu Believe, Empathy, Love, Affection dan Salvation, ini merupakan tunjang kepada pembinaan perwatakan insan yang bukan sahaja berjaya dalam akademik malah dapat membina jati diri mereka termasuk kepada haiwan terutama kucing jalanan.

"Saya menyokong usaha ini yang ditubuhkan oleh USM untuk jalankan usaha-usaha murni itu, inisiatif dalam membela nasib kucing jalanan dan ia diterjemahkan dalam pameran adalah satu usaha pencapaian murni dalam melahirkan ganerasi holistik yang empati terhadap haiwan," titah baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Penaung Diraja kepada kempen Stray Free Selangor (SFS) kendalian Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) bertitah pihak industri, agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bersama-sama membantu sama ada dari segi bantuan dana secara langsung atau tidak langsung kepada usaha USM itu.

Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan meluangkan masa melawat pameran dan bermain dengan kucing-kucing di situ.

Pameran kisah hidup Oyen dan kawan-kawan anjuran Sekretariat belas itu dibuka kepada orang ramai bermula 16 Jan hingga 7 April.

Terdahulu, Naib Canselor USM Prof Datuk Ir Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya berkata pameran itu juga antara lain untuk mengetengahkan nilai belas dan kasih sayang terhadap kucing jalanan serta dalam masa sama untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada warga USM serta orang ramai tentang pentingnya hubungan manusia dan alam.

Katanya, fokus Sekretariat belas itu juga adalah untuk menjadikan kampus USM sifar kucing jalanan dengan kucing-kucing jalanan tersebut dapat dibela dan diberi rumah baharu yang penuh dengan kasih sayang.

"Kucing yang diselamatkan divaksinasi dan dimandulkan demi kebaikan mereka, kami juga mendapat bantuan daripada NGO. Setakat ini, sebanyak 160 ekor kucing telah diselamatkan dan 77 ekor mendapat kediaman baharu, tujuh ekor di bawah jagaan kami, empat ekor telah menjadi kucing terapi USM, 45 lagi dimandulkan manakala 14 ekor telah mati digigit anjing liar," katanya.

Beliau berkata Sekretariat belas juga mempunyai impian dan harapan besar untuk membina sebuah tempat transit perlindungan kucing jalanan di kampus USM kerana tidak dinafikan sejak kebelakangan ini kes kesihatan mental telah menaik dan kucing-kucing yang bersesuaian akan dijadikan kucing terapi untuk pelajar di universiti itu.

- Bernama