Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aeril Zafrel berang hasrat bina masjid dipolitikkan

Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel menempelak sebuah portal berita susulan memuat naik kenyataan sengaja mencetus provokasi berbaur politik mengenai pertemuannya dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit Mohd Puad Zarkashi semalam.

Sekiranya tidak tahu kata Aeril, jangan sewenang-wenang mempolitikkan sesuatu perkara tanpa menyelidik terlebih dulu.

“Kau kalau tak tahu cerita jangan buat cerita,” ciapnya di Twitter.

Menurut Aeril, 34, dia bertemu dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu kerana memasang hasrat untuk membina masjid di kampungnya.

Justeru, katanya, wajarlah dia mengadakan pertemuan dengan Puad yang juga speaker DUN Johor itu.

“Aku jumpa dia sebab dia Adun Rengit, kampung aku. Aku nak buat masjid tempat kampung aku, mestilah kena jumpa wakil rakyat sini.

“Memang semua benda kau nak politikkan ke?,” katanya dalam hantaran sama.

Terdahulu, portal terbabit meminta supaya Puad tidak membuka ruang kepada Aeril atau nama sebenarnya Suharil Sunari itu yang didakwa menyokong parti Perikatan Nasional (PN).

Dakwa portal tersebut, Aeril seolah-olah tamak dan dituduh mahu membolot projek bersama BN pula.

Portal itu turut mengiringi ciapan tersebut, dengan berkongsikan gambar pertemuan Aeril dengan Puad di sebuah hotel di Putrajaya.

Untuk rekod, sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, suami kepada pelakon Wawa Zainal itu pernah dilihat mempromosi PN apabila menggayakan baju parti itu melalui video yang dikongsikannya di media sosial.

Melalui hasil semakan Malaysiakini tidak lama kemudian, portal berita berkenaan didapati memuat naik permohonan maaf melalui ciapan dimuat naik aktor itu.

“Kalau tuan nak buat masjid, jadi saya mintak maaf. Saya silap,” balasnya.