Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Reformasi segera industri perfileman, penyiaran negara

ULASAN SENI | Kerajaan wajar melakukan reformasi menyeluruh ke atas industri perfileman dan penyiaran Malaysia sebagai langkah memperkasa industri kandungan popular tempatan.

Langkah itu sejajar dengan program pembangunan ekonomi digital Malaysia bagi membolehkan ia bersaing di persada penyiaran dan pempameran filem serantau serta antarabangsa.

Reformasi ini perlu bagi menjayakan idealisme pembinaan masyarakat Malaysia baru, selain memperkukuhkan nilai citra negara bangsa yang amat diperlukan kini.

Untuk itu, suatu pelan tindakan, penyelarasan perlaksanaan dan ukuran piawaian yang melibatkan pemegang taruh bagi industri perfileman, penyiaran dan komunikasi digital perlu diadakan.

Kumpulan pemegang taruh itu termasuklah golongan usahawan filem, penerbit, karyawan, artis, tenaga profesional, pembekal khidmat teknologi dan pempamer.

Dengan penyelarasan dan kawalan standard yang teratur di semua peringkat, pelestarian industri akan dapat disasarkan dengan lebih baik.

Mengikut kajian yang dijalankan Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (IAMS), persoalan utama yang dihadapi industri perfileman dan penyiaran Malaysia pada masa ini ialah soal kebergantungan kepada syarikat pengeluar yang tidak mempunyai modal mencukupi dan keupayaan pengurusan yang berdaya maju.

Syarikat-syarikat yang mendapat lesen pengeluaran daripada Finas itu kebanyakannya juga tidak mempunyai pelan perniagaan yang jelas atau mantap.

Keadaan tak harus dibiarkan

Keadaan diburukkan lagi dengan kurangnya ilmu pengetahuan mereka dalam bidang pengurusan filem, lebih-lebih lagi bagi penyertaan di pasaran terbuka.

Kebergantungan berterusan sebahagian besar mereka kepada RTM sebagai sumber utama aktiviti pengeluaran juga menjadikan industri negara mendatar saja.

RTM pula menghadapi masalah untuk meningkatkan harga dan bilangan perolehan kerana tertakluk kepada dasar kerajaan pada sesuatu masa, di samping tidak meningkatnya jumlah jam siaran untuk diagih-agihkan.

Berdasarkan tinjauan IAMS terdapat hanya sekitar 20 peratus saja syarikat pengeluar yang aktif pada masa ini. Kebanyakan mereka berada dalam bidang penerbitan televisyen.

Selebihnya hanya menjadi pengeluar sesekali, yang kebanyakannya tidak membina sebarang impak kepada kemajuan industri secara holistik.

Dalam keadaan yang begitu dan memandangkan aktiviti pengeluaran filem dan bahan penyiaran dikategorikan sebagai aktiviti gig economy, kesan yang diterima oleh golongan karyawan seperti pengarah, penulis skrip, pelakon, pekerja filem dan lain-lain yang bekerja secra kontrak menjadi sangat negatif.

Keadaan ini tidak seharusnya dibiarkan terus berlaku kerana karyawan, artis dan pekerja filem adalah pencorak wajah serta nilai kehidupan masyarakat dan negara.

Ekonomi gig ialah kegiatan ekonomi yang bersandarkan kepada konsep pekerjaan jangka pendek, atau freelancing.

Pada kebiasaannya ekonomi gig menguntungkan peniaga atau usahawan kerana mereka tidak terikat dengan komitmen jangka panjang dari segi faedah-faedah berkaitan perkhidmatan.

Untuk mengatasi keadaan ini suatu konsep ekonomi gig baru yang disesuaikan bagi bidang perfileman dan penyiaran perlu diwujudkan.

Perkara ini penting kerana kalangan karyawan dan pekerja perfileman dikategorikan sebagai golongan profesional, pakar dalam bidang masing-masing, serta menjadi peneraju utama, di samping menjadi pemilik hak cipta sesuatu karya.

Untuk membantu kalangan pengusaha agar konsisten kerajaan perlu menyediakan dana khas yang sumbernya barangkali boleh diperolehi dari industri filem dan penyiaran itu sendiri.

Antaranya melalui sebahagian daripada duti hiburan yang dipungut kerajaan negeri melalui kerajaan tempatan.

Duti hiburan sebanyak 25 peratus yang dikenakan pada setiap tiket filem tempatan di pawagam pernah dikembalikan semula kepada penerbit, tetapi insentif berkenaan dihentikan pada sekitar 2018.

Bayangkan seandainya sebuah filem tempatan memungut hasil jualan tiket sebanyak RM100 juta, sebanyak 25 peratus daripada jumlah itu adalah RM25 juta.

Sekiranya jualan tiket untuk filem keluaran tempatan adalah sebanyak RM1 bilion atau sekurang-kurangnya RM500 juta setahun, paling tidak RM125 juta dapat digunakan bagi merangsang pengeluaran filem dan kandungan penyiaran tempatan.

Sebahagian daripada peruntukan tersebut juga mungkin boleh diasingkan sebagai dana perlindungan karyawan bagi membantu mereka yang memerlukan, termasuk untuk memajukan kerjaya mereka dan aspek-aspek kebajikan yang sewajarnya.

Keadaan ini menjadi lebih bernilai lagi kalau dikaitkan dengan bidang ekonomi digital yang dibangunkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang pada akhir 2021 merekodkan pencapaian mencecah nilai sebanyak AS$190 bilion seperti dinyatakan dalam satu laporan Kementerian Kewangan Malaysia pada Dis 2021.

Nilai yang besar dan dijangka terus berkembang ini patut sekali membawa bersama kemajuan dalam bidang perfileman, penyiaran dan komunikasi digital khususnya bagi golongan profesional, karyawan, dan teknologis yang rata-rata menjadi tunjang keteguhan teknologi komunikasi dan digital yang rancak berkembang di seluruh dunia ketika ini.


MAHADI J MURAT ialah pengarah filem merangkap profesor komunikasi dan teknologi di International University of Malaya-Wales. Dia juga merupakan presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.