Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hamparan keunikan Pahang pada 11 karya seni

Gaya impresionisme mula diperkenalkan melalui satu gerakan seni pada kurun ke-19 di Paris dan ia dikaitkan dengan lukisan Impression, soleil levant (Impression, Sunrise) oleh Claude Monet pada 1872.

Kemudiannya, gaya itu mula bertapak di Malaysia pada era 1960-an.

Antara nama besar yang dikaitkan dengan karya seumpama itu adalah Syed Ahmad Jamal, Latiff Mohidin, Sharifah Fatimah Syed Zubir dan Joseph Tan.

Selepas 50 tahun gaya impresionisme bermula di negara ini, hasil karya seperti itu terus mendapat tempat dalam kalangan pengamal dan penggemar seni lukis.

Begitulah juga bermulanya minat bekas guru Maktab Rendah Sains Mara Kuantan, Ahmad Nazrin Mohamed Noor, dalam penghasilan karya bebas miliknya.

Sejak 2016, Ahmad Nazrin sudah mengadakan lapan pameran solo untuk khalayak peminat seni lukis di Pahang.

Walaupun berasal dari Dungun, Terengganu, dia sudah bermastautin di Kuantan sejak 1990-an lagi.

Bahkan 11 hasil seni pelukis itu dipamerkan di Artic Gallery di Jalan Gambut, Kuantan sejak awal bulan ini. Karya tersebut dianggap sebagai mewakili dedikasinya kepada Pahang.

Ahmad Nazrin berkelulusan Diploma Pendidikan Seni dari Institut Teknologi Mara dan adalah seorang ‘pejuang’ kerana sebelum ini dia menghidap penyakit kanser tiroid.

“Ia bukan menjadi penghalang minat saya dalam bidang seni lukis, bahkan memberikan semangat untuk terus berjuang melawan penyakit itu,” katanya ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini.

Ditanya mengenai ilham untuk menghasilkan 11 lukisan itu pula, dia berkata setiap karya mewakili daerah di Pahang.

Untuk itu, katanya, dia mengunjungi semua lokasi menarik di semua daerah negeri terbabit bagi mendapatkan idea untuk menghasilkan karya.

“Kalau orang sebut daerah Temerloh, biasanya orang cakap ikan patin sebagai trade mark dan itu pendapat masing-masinglah.

“Tapi, bagi saya benda paling unik di Temerloh ialah pekan sehari yang terletak di sepanjang laluan Esplanade Temerloh.

“Disebabkan itu, saya luahkan melalui lukisan melalui tiga panel menggunakan media campuran dan akrilik,” katanya.

Ahmad Nazrin turut berkongsi kegembiraannya apabila satu daripada hasil karyanya berjudul Jalan Sibuk di Bandar Lipis dibeli oleh Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, lukisan itu dihasilkan dan disiapkan dalam masa kira-kira tiga minggu dengan menjadikan suasana sesak di bandar lama Lipis sebagai rujukan.

“Datuk Seri (Wan Rosdy) berminat sebaik saja melihat lukisan itu dan bertanyakan harga, selepas itu dia setuju untuk membelinya.

“Dia cakap nak letak di galeri di Lipis, untuk dipamerkan kepada orang ramai dan penduduk sekitar daerah itu,” katanya lagi.

Pameran solo 9 The Scenic Sights of Pahang masih berlangsung di Artic Gallery di Arked Mara di Jalan Gambut, Kuantan sehingga 31 Disember ini.