Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | DBP bukan lagi harapan sasterawan

ULASAN SENI | Apa yang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) buat untuk perkembangan   sastera Malaysia? Adakah sekadar terbit buku dan kemudian tersadai di stor?

Atau sekadar menganjur seminar dan menghimpun kertas kerja daripada sarjana dari luar bangunan DBP dan terbitkan, kemudian menjadi kebanggaan sebagai hasil kerja selama bertahun-tahun?

Para pegawai yang ada di situ buat apa?

Apa yang kakitangan kerjakan dari pagi ke malam di bangunan tersergam itu sejak bertahun-tahun?

Sudah tentu DBP bukan sekadar premis untuk menerima pencalonan dan kemudian mengumumkan tokoh Sasterawan Negara, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).

Dulu DBP yang menubuhkan panel untuk menilai seseorang pengkarya bagi menerima HSPM, kini penulis sendiri perlu mencalonkan diri dengan mengirim karya masing-masing untuk dinilai.

Jika penulis tidak mengirim karya yang pernah tersiar untuk dinilai, mereka tidak layak menjadi calon HSPM ketika nilai hadiahnya terlalu sederhana.

Ganjaran yang sedikit

Jika begini keadaannya, kakitangan DBP itu seolah-olah hanya pekerja pos yang kerjanya terima pencalonan daripada penulis sebelum diserahkan kepada panel penilai.

Penulis yang rasa layak terima anugerah SN atau SEA Write Award juga boleh melobi rakan sarjana dan persatuan untuk mencalonkan nama mereka kerana kerja DBP mudah sekali: terima pencalonan dari luar, buat saringan dan umum pemenang.

Jika dulu DBP berkuasa penuh memilih dan menilai karya yang baik, kini mereka lebih cenderung menjadi alat saja.

DBP kini bukan sahaja gagal memartabatkan sastera tempatan, bahkan semakin meremehkan nilai HSPM dengan ganjaran yang sedikit.  

Sejak penganjuran HSPM 2017/2018, nilai hadiah untuk semua kategori diturunkan. Bagi kategori buku misalnya - yang merangkumi kumpulan cerpen, puisi, novel dan drama - diturunkan daripada RM10,000 kepada RM8,000 sahaja.

Jumlah itu dikekalkan pada penganjuran HSPM 2019/2020.

Bagi kategori buku remaja dan kanak-kanak pula jika sebelum ini nilai hadiahnya RM5,000 setiap satu, ia dikurangkan menjadi RM3,000 sahaja.

Seorang penulis bertanya, apakah sebenarnya yang DBP lakukan?

Katanya ketika hadiah pertandingan nyanyian atau lawak jenaka boleh mencecah puluhan ribu, DBP bahkan menurunkan nilai hadiah penerima HSPM?

"Jika alasannya HSPM tidak menarik minat korporat untuk menaja maksudnya DBP yang gagal berkerja keras untuk mencari tajaan.

"Atau mungkin peruntukan yang sepatutnya digunakan bagi membangunkan bahasa dan sastera seperti mana terkandung dalam akta organisasi itu gagal diagihkan dengan baik?" kata penulis itu.

Tambahnya, jika DBP tidak mendapat peruntukan kewangan yang banyak, mereka masih boleh mengendalikan majlis pelancaran buku penulis atau individu tertentu yang bukan pun tokoh sastera atau bahasa dengan meriah sekali.

Ada banyak nama besar

Memang ramai penulis yang merungut tentang DBP namun mereka tidak berupaya bersuara kerana bimbang diboikot.

Sudah banyak kali isu sastera dan penerbitan disuarakan namun DBP tetap begitu.

Sejak 2000, DBP secara evolusi berubah daripada premis yang memartabatkan bahasa dan sastera kepada sektor yang kononnya moden dan birokratik.

Berpindah ke Menara DBP dari bangunan yang relatif kecil turut menukar budaya dan adat pengurusan birokrat seni itu sendiri. DBP di bangunan lama adalah gedung sastera yang dipenuhi kalangan seniman sebagai karyawannya.

DBP di bangunan baru pula ditadbir oleh pengurusan kanan yang mungkin cemerlang akademik tapi terbatas dari segi seni dan bahasa.

Perubahan itu menjadikan dasar memartabatkan sastera semakin tertinggal kerana kalangan sasterawan sendiri tidak lagi berperanan di premis DBP.

Saya mula mengenali DBP pada awal dekad 1980-an walaupun tidak pernah bekerja di situ. Namun pada waktu tersebut DBP menaungi ramai tokoh sastera.

Antara kakitangan di DBP ketika itu ialah nama besar seperti Keris Mas, Usman Awang, Anwar Ridhwan, Kemala dan Baha Zain. Mereka bukan sahaja sasterawan penting tanah air, bahkan tidak lokek bersantai dan bercerita tentang sastera.

Di belakang mereka pula ratusan penulis dan sasterawan yang sedang bertenaga menghasilkan karya berbobot.

Unit sastera di bangunan lama itu bagai dikuasai sasterawan muda yang lahir di bumbung bersejarah DBP.

Nama-nama seperti Johan Jaafar, Suhaimi Haji Muhammad, Sutung Umar RS, A Ghani Abdullah, A Rahim Abdullah, Shamsudin Jaafar, Zaen Kasturi, Mohamad Shahidan, Talib Samat, Jaafar HS dan ramai lagi adalah antara sasterawan pelapis yang dihormati ketika itu.

Mereka adalah guru, rakan dan teman seni yang akrab.

Selain karyawan DBP yang memeriahkan kesusasteraan tanah air, penulis luar juga kerap bertandang menghadiri majlis di Balai Budaya dan Sudut Penulis.

Dari situlah orang muda mengenal A Samad Said, Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Siti Zainon Ismail dan ramai lagi.

Badan memartabatkan bahasa

Dekad 1980-an dan awal 1990-an adalah era sebelum dunia siber dikenali. Internet yang disebar luas oleh Presiden Amerika Syarikat, Ronal Reagan (1911-2004) masih milik beberapa pihak saja.

Kami tidak mengenal media sosial dan media digital. Penerbitan secara tradisional majalah, akhbar dan buku adalah pengalaman yang menarik.

DBP pada masa itu menjadi tumpuan sasterawan tempatan dan antarabangsa.

Kerana itu ada yang membuat lawak bahawa jika sebiji batu dibaling ke kaca tingkap DBP, serpihannya pasti akan mengenai kepala sasterawan Malaysia.

Lawak itu tentunya bermakna kerana tiada agensi lain sehebat dan segigih DBP melahirkan sasterawan dan budayawan bahasa yang ulung di Malaysia.

Selepas 40 tahun, DBP sudah bukan lagi berada di bangunan yang amat sederhana. DBP kini bercacak dengan menara kemegahan yang sepatutnya membuktikan kejayaan institusi bahasa, sastera dan kebudayaan.

Pada usia 65 tahun DBP sepatutnya bukan lagi gedung yang menerbitkan buku dan melahirkan penulis ulung, juga berfungsi sebagai badan yang melaksanakan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan lingua franca.

Sastera sepatutnya lebih terpelihara dan bukannya direndahkan martabatnya.

Ia mengingatkan kita kepada kata-kata A Samad Said tentang birokrat seni yang kurang visi, kurang rasa dan kurang reti!


IMLAN ADABI ialah wartawan dan sasterawan yang tiada kasta mahupun kluster.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.