Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rahmat tersembunyi dari Covid-19 buat Sheila Majid

Penyanyi Sheila Majid menganggap wabak Covid-19 memberi hikmah besar kepadanya apabila berkesempatan menghabiskan tempoh lima bulan menjaga arwah ibunya di saat-saat akhir.

Baru berkongsi perkara itu hari ini, Sheila berkata kekangan jadual yang padat pada 2019 sering mencetuskan kebimbangan kerana dia tidak berpeluang memberikan sepenuh perhatian kepada ibunya, Saadiah Adam yang ketika itu sudah semakin uzur.

“Saya pula selalu terbang ke sana sini. Jadi, setiap kali terima panggilan telefon dari rumah, memang terdetik perasaan cemas itu.

“Saya sediakan jururawat dan juga pembantu rumah namun…. ialah memang kita kena bersedia bila tiba waktunya. Saya sering berdoa sekiranya ibu meninggal dunia biarlah waktu itu saya sedang berada di Kuala Lumpur.

“Apabila Covid-19 semakin menular pada Mac 2020, saya tak dapat pergi ke mana-mana namun saya anggap ia satu rahmat buat saya apabila diberi rezeki jaga ibu siang dan malam,” katanya.

Menurut penyanyi Hitam Putih Kehidupan itu, adik-beradiknya memang banyak bergantung harap kepadanya untuk menjaga ibu mereka yang sedang uzur.

“Apabila tiba Aidilfitri pun, adik-beradik yang lain tak berani melawat kerana mereka belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dan risaukan penularan wabak,” tambahnya.

Sheila berkata dia juga lega dan bersyukur kerana berpeluang memandikan dan menyempurnakan jenazah orang tuanya itu.

Sheila berkata demikian pada sidang media Sheila Majid Live In Kuala Lumpur 2023 di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

Konsert itu dijadual berlangsung pada 18 Mac tahun depan di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Allahyarham meninggal dunia pada usia 96 tahun akibat sakit tua pada 1 Ogos 2020.

Arwah tidak mengidap sebarang penyakit namun kesihatan ibu kepada lapan cahaya mata semakin merudum hingga kurang selera makan sejak 2020.

Sementara itu, berkongsi mengenai konsert berkenaan, Sheila teruja kerana konsert tersebut hadir selepas kali terakhir dia menghiburkan peminatnya pada 2017.

Lebih istimewa, katanya lagi, dia memilih lokasi berkenaan yang memberi banyak makna buatnya.

“Sebelum berehat untuk Ramadan tahun depan, saya akan tampil dengan satu konsert khas buat peminat.

“Istimewanya konsert ini kerana ia diadakan di lokasi konsert pertama saya,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, dia akan membuat persembahan di pentas penuh instrumen menerusi konsep big band, dengan lagu-lagu yang diberi nafas baru khas untuk malam itu.

“Saya akan diiringi 23 pemuzik dengan 13 daripadanya merupakan pemain horns, tujuh pemuzik band bersama tiga penyanyi latar dipimpin pengarah muzik Mac Chew,” katanya lagi.