Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Menjauhi pejuang bahasa, budaya jadi-jadian

ULASAN | Rasanya belum terlambat lagi untuk sesiapa pun mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana mendapat kerajaan baru.

Semoga kerajaan yang ini tidak dikhianati dengan mana-mana langkah dari sebarang bilik hotel, sama ada berbintang lima, enam waima berbintang 99 pun. Dan atapnya juga tidak ditebuk oleh mana-mana tupai atau monyet.

Kerajaan baru ini - seperti yang diketahui umum - berperdanamenterikan seorang tokoh yang selama ini dilihat besar cinta dan kasihnya kepada bahasa serta sastera.

Dia terkenal sebagai seorang tokoh yang selalu cermat memilih perkataan dan kadang-kadang ungkapan itu jarang digunakan orang lain. Maka tersentaklah kebanyakan orang politik dan bukan politik yang suka merojakkan bahasa.

Rakyat jelata - biasanya dalam kategori selalu bercinta untuk membaca - juga ramai yang terpinga-pinga.

Baru-baru ini pula, riuh di pelantar media sosial apabila perdana menteri menggunakan perkataan cerakin. Ada yang mengagumi dan ada pula yang meremehkan. Demikianlah resam manusia yang beragam sikapnya.

Sudah tentu hal ini menjadi keterujaan dalam kalangan pencinta bahasa yang sebenar-benarnya. Dan yang pasti, kita bakal mendengar (dan belajar) banyak lagi kosa kata baru daripada perdana menteri kita itu.

Pejuang yang pandir

Apabila seseorang ketua negara cenderung mencintai bahasa dan sastera Melayu, akan ada pula kebaikan dan keburukannya. Ia datang sebagai pasangan.

Seandainya kita berhusnuzon dengan pasangan buruknya, maka akan ada pihak yang ambil kesempatan.

Setelah Anwar Ibrahim berjanji akan memartabatkan bahasa pada awal perlantikannya sebagai perdana menteri, semua warga yang cintakan bahasa dan sastera (dengan sebenar-benarnya) sudah tentu turut bergembira.

Hal itu kerana kita bakal menyaksikan bahasa (dan sastera) Melayu akan dikembalikan di tempat yang sepatutnya seperti termaktub dalam perlembagaan.

Sekurang-kurangnya begitulah harapan warga Malaysia yang benar-benar cintakan bahasa dan sastera.

Kita mengharapkan agar bahasa Melayu bukan sekadar menjadi simbolik atau bahan politik semata-mata.

Pun begitu, kita tidak pula ingin melihat bahasa Melayu dijadikan bahan propaganda murahan, seperti 'gah' dituturkan pada majlis di luar negara tetapi tiada pula penterjemah disediakan untuk pendengar.

Jika keadaan itu berlaku, maka jadilah kita pejuang bahasa Melayu yang pandir.

Kita tidak ingin bahasa yang dicintai itu menjadi penghalang komunikasi di persada antarabangsa. Kita tidak ingin berasa bangga yang rupanya adalah hal sia-sia.

Berbalik kepada pasangan buruk kepada natijah pendaulatan bahasa dan sastera Melayu di era ini. Dapat difahami bahawa dalam sehari dua ini bakal ada melihat pejuang bahasa muncul.

Pun begitu sesekali akan sukar juga untuk seseorang mengenali yang mana pejuang tulen, dan yang mana pula pejuang palsu. Ada antara watak yang muncul itu menjadi pejuang bahasa Melayu hanya untuk mencari makan (dan jawatan).

Dan daripada sekian banyak pejuang yang muncul seperti cendawan selepas PRU itu ada antara mereka ialah scammer bahasa Melayu.

Kenal pasti pejuang tulen

Para pejuang bahasa dan sastera yang hanya (kononnya) berjuang semasa nampak ruang dan peluang untuk memolok keuntungan peribadi patutlah dihindari oleh pihak yang berkenaan.

Bahasa tidak wajar dijadikan alat berpolitik. Sastera pula tidak boleh dikastakan mengikut mazhab dan kroni kepada para pemuka yang memegang kuasa.

Pemegang kuasa sastera pula haruslah terdiri daripada orang yang terbuka pemikirannya kepada perubahan. Janganlah diangkat pemimpin daripada kalangan yang jumud serta perpuak-puak.

Bahasa dan sastera berkembang seiring zaman. Jika tersilap percaturan, kita bakal kembali ke takuk lama, beku dan tidak ke mana-mana sedangkan tetangga kita sudah mengeksport karya penulis mereka ke serata dunia.

Semoga Anwar bijak mengembirikan pejuang bahasa dan sastera yang palsu.

Biarlah mereka kekal bertapa di gua-gua terpencil, tidak keluar mengganggu gugat keharmonian dan kelestarian ranah bahasa dan sastera kita.

Pada masa sama, kenal pasti para pejuang yang tulen, yang terbuka pemikiran mereka dan tidak berpuak-puak sebagai peneraju badan-badan bahasa dan sastera di nusa yang tercinta ini.


SANUSI DIN atau nama penanya Ibnu Din Assingkiri ialah penulis kreatif separuh masa yang mencintai alam sekitar sepenuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.