Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kediaman ditembak: Saya tiada musuh, hutang sesiapa - DJ Aki

Penyampai radio wanita yang kediamannya ditembak awal pagi tadi berkata dia dan suaminya tidak mempunyai masalah hutang mahupun bermusuh dengan sesiapa.

Dia yang dikenali sebagai DJ Aki berkata, ketika kejadian berlaku dia baru pulang ke rumah mereka yang terletak di Seri Aman Heights, Desa Jaya, Gombak kira-kira pukul 1.05 pagi.

“Saya tidak tahu mengapa ia berlaku kerana saya tidak ada hutang atau dendam dengan sesiapa,” katanya.

Menurutnya, mereka kemudian terus turun untuk melihat apa yang berlaku tetapi terkejut apabila mendapati pintu rumah dan dinding berlubang disyaki ditembak.

“Suami saya menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya dipetik Harian Metro.

Menurutnya, polis turut menemui senjata dipercayai pistol buatan sendiri di belakang bukit kawasan rumahnya.

“Mujur ketika pulang kami mengunci pintu rumah dan jika tidak mungkin terkena tembakan itu.

Terdahulu, media melaporkan Dj Aki berdepan detik mencemaskan selepas kediamannya di Seri Aman Heights, Desa Jaya terkena tembakan awal pagi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir dilapor berkata, Pusat Kawalan Daerah IPD Gombak menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada seorang lelaki pada jam 1.50 pagi memaklumkan terdengar bunyi letupan di luar rumah dan terdapat kesan berlubang pada pintu kayu hadapan rumah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.