Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Diana harap Farid tak kena tempias lakonan watak Anwar

Diana Danielle memohon orang ramai tidak mempolitikkan dan memboikot filem arahan serta lakonan Farid Kamil selepas suaminya itu terbabit membawa watak sebagai Anwar Ibrahim.

Sebagai seorang pelakon, kata Diana, suaminya hanya ingin mencuba peluang yang dianggap keemasan dan datang sekali seumur hidup bagi menggembangkan lagi kerjayanya.

“Dia ada bincang dengan saya, adakah perlu dia buat atau tidak. Saya nasihatkan, pelakon perlu cari makan, kita mahukan karier yang gemilang, jadi inilah antara perjalanannya.

“Justeru, saya harap perkara ini tidak dipolitikan. Kenapa Farid terima tawaran itu? Kerana kita bukan lagi hidup pada zaman dulu yang tidak boleh bersuara.

“Sekarang sebagai rakyat Malaysia saya rasa lebih selamat kerana sudah boleh bersuara sambil meraikan pendapat berbeza,” ujarnya.

Sebagai sebuah negara mengamalkan demokrasi, pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu menegaskan, semua pihak perlu meraikan kepelbagaian pendapat yang merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan.

Dia sendiri sebagai pelakon, katanya, perlu sentiasa mencari peluang mengembangkan kerjayanya sama ada melibatkan naskhah berkaitan politik atau sebaliknya.

“Demokrasi boleh didukung, itulah maksud sebenar demokrasi.

"Tak perlulah kita menghukum rakyat yang bebas dan berani bersuara selagi tidak melampaui batas.

“Jika seseorang itu tidak bersetuju, itu juga demokrasi,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru arahan dan terbitan Farid, Remp-It 2, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Farid sebelum ini terbabit menjayakan naskhah arahan Viva Westi dan memegang watak utama sebagai Anwar. Dia bergandingan dengan pelakon Indonesia, Acha Septriasa, sebagai Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ia berkisahkan perjuangan Anwar di tahun-tahun terakhir sebelum dipecat dari kerajaan. Naskhah itu dijangka menjengah layar perak awal tahun depan.

Mengulas lanjut, Diana berkata, dia bangga apabila Farid menyatakan kesediaannya untuk melakonkan watak Anwar dan tidak menunjukkan tanda-tanda terbeban untuk melakonkan watak tokoh yang besar lagi disegani itu.

“Ini mungkin hanya lelaki yang faham. Jika sesuatu perkara itu susah untuk diusahakan, Farid rela simpan semua sendiri.

“Jika dia bercakap mengenainya pun mungkin hanya sepatah dua saja,” katanya.