Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ramai pelakon 'takut' bawa watak Anwar Ibrahim - Farid Kamil

Farid Kamil mengakui hanya dia satu-satunya pelakon yang berani tampil untuk membawa watak Anwar Ibrahim selepas beberapa nama besar lain menolak tawaran untuk menjayakan filem mengenai tokoh politik itu.

Katanya, produksi Bianglala Entertainment memaklumkan dia adalah jalan terakhir mereka kerana pelakon lain dikatakan tidak berani berdepan risiko yang berkemungkinan timbul kelak.

“Ya, ketika menerima tawaran berlakon, tiada pelakon, kru atau pengarah yang berani untuk hasilkan atau lakonkan cerita mengenai tokoh itu. Mungkin hanya yang ‘terpilih’ saja akan membawa watak tersebut.

“Saya adalah pilihan terakhir produksi Indonesia itu. Produksi pernah menawarkan tawaran sama kepada sekurang-kurangnya tiga pelakon tempatan lain.

“Saya difahamkan mereka menolak dengan alasan tak berani. Namun, saya fikir jika takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan,” ujarnya.

Pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari itu berkata, pada awal dia juga sebenarnya tidak berani menyahut cabaran produksi untuk menterjemahkan watak Anwar ke layar perak.

Namun, bagi pelakon ‘Lagenda Budak Setan’ itu, jika dia ingin menguasai watak sebagai Anwar sepenuhnya, dia perlu bertemu dengan Pengerusi PH itu secara peribadi.

“Pada awal, Penerbit Eksekutif filem yang juga kartunis Zunar tawarkan watak kontroversi itu kepada saya tapi tanpa menyebut siapa nama tokoh berkenaan.

“Apabila saya bertanya untuk meminta keterangan lanjut pada pengarah Viva Westi mengenai watak itu pula, dia menjawab: Pasti skrip itu akan mencari pelakonnya.

“Tapi saya bersyukur permintaan untuk bertemu dengan Anwar dimakbulkan. Kami bertemu selama dua jam, namun saya anggap itu tak cukup dan mengajaknya bertemu sekali lagi selepas itu,” jelasnya.

Farid berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem ‘Rem-It 2’ arahan dan terbitannya di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Filem itu bakal menjengah pawagam seluruh tanah air pada 24 Nov ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan, Farid menerima tawaran itu kerana ia sukar diperoleh tambahan lagi tokoh yang dilakonkan masih sihat walafiat dan bergiat aktif dalam dunia politik serta menjadi pejuang antirasuah yang tegar.

Berkongsi pengalaman bertentang empat mata dengan Anwar, Farid, 41, berkata, dia sangat mengagumi tokoh politik itu yang menempuh ranjau penuh berduri dalam sepak terajang dunia politik.

Katanya, peristiwa Anwar ditumbuk di bahagian muka sampai lebam semasa reformasi 1998 masih segar dalam ingatan.

“Saya nak lihat sendiri kesan yang berlaku pada Anwar selepas ditumbuk dan dibelasah ketika itu. Jadi, sewaktu kami bertemu, saya minta Anwar buka cermin mata.

“Kesan tersebut ternyata dapat dilihat pada keningnya. Sebab itu, saya perlu terjemahkan watak ini dengan sebaik-baiknya,” tuturnya.