Zul Huzaimy nafi nak sembelih orang bukan Islam
Zul Huzaimy tampil memohon maaf susulan kenyataannya mahu "menyembelih" orang bukan Islam dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 Nov lalu.
Pelakon itu juga menafikan dianya yang sebenar adalah terlalu ekstrem seperti kenyataannya yang tular dalam sebuah klip video, malah mendakwa ia telah disunting oleh pihak tertentu.
Bagaimanapun dia tidak menamakan sesiapa yang dimaksudkannya "menyunting" klip video berkenaan.
Menurut pelakon filem Wayang itu lagi sebenarnya kenyataan yang dibuat pada hari berkenaan ditujukan kepada "segelintir" orang bukan Islam yang kononnya tidak membenarkan azan berkumandang.
“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang mungkin tersalah anggap berikutan kenyataan saya dikatakan terlalu ekstrem dalam video klip yang telah disunting.
“Sebenarnya saya bercakap (begitu) supaya menjaga bukan Islam (kafir zimmi) kerana mereka ini menyokong pemerintahan negara kita yang Islam, justeru, wajar pemimpin beragama Islam untuk menjaga mereka.
“Ada pun kafir harbi (yang disebut dalam video ucapan) adalah musuh Islam yang nyata.
"Maksud saya di sini ialah non-Muslim yang bencikan Islam, suka perkauman, buat hal hingga tak benarkan azan berkumandang di sesetengah tempat,” katanya di Instagram malam tadi.
Baca Isu larangan azan: YDP PAS mohon maaf pada DAP
Dia yang turut berlakon dalam filem KL Menjerit 1 itu berkata, semalam dia menerima satu video memaparkan sekumpulan orang di Pulau Pinang yang bergendang dengan kuat di depan sebuah masjid.
Katanya, ketika itu, orang Islam sedang azan Isyak dan solat Isyak.
“Benda inilah yang kita harus faham, yang saya maksudkan itu adalah golongan bukan Islam yang segelintir ini,” ujarnya.
Menurut Zul, 43, dia sendiri bersahabat baik dengan orang daripada pelbagai kaum seperti Cina, India dan Sikh serta menghormati kepelbagaian agama di negara ini.
“Arwah mak cik saya juga kaum Cina tapi beragama Islam. Kawan saya, Adam Corrie, kaum Cina tapi beragama Islam.
"Apa yang saya maksudkan adalah sesetengah pihak cuba memanaskan keadaan untuk membenci Islam, agama rasmi Malaysia.
“Saya harap kenyataan yang disunting tidak disensasikan untuk tujuan ucapan kebencian dan berbaur perkauman.
“Saya mahu kita sama-sama hormat menghormati, anda dengan agama anda, dan saya dengan agama saya supaya kita aman,” jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai