Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lakonkan watak Azizah satu penghormatan - Acha Septriasa

Bintang Indonesia Acha Septriasa menyifatkan peluang melakonkan watak bekas timbalan perdana menteri Malaysia Wan Azizah Ismail sebagai satu penghormatan.

Malah, katanya, dia kini dapat merasai kasih sayang Azizah dan suaminya Anwar Ibrahim.

“Kedua-dua Anwar dan Azizah adalah pasangan yang secocok. 

“Kasih sayang mereka sebagai suami isteri dan bagaimana mereka tunaikan tanggungjawab kepada negara amat memberikan inspirasi,” katanya melalui kenyataan kepada Malaysiakini.

Salah satu babak Acha dan Farid

Acha, yang terkenal dengan filem Heart terlibat dalam filem mengisahkan perjuangan Anwar di tahun-tahun terakhir sebelum dipecat daripada kerajaan oleh perdana menteri ketika Mahathir Mohamad.

Acha akan bergandingan dengan Farid Kamil yang melakonkan watak Anwar dalam filem arahan Viva Westi, sutradara terbaik dalam Festival Filem Indonesia pada 2008. 

Filem itu dijadual ditayangkan pada awal tahun depan dan berkemungkinan besar memasuki pasaran Malaysia.

Sementara itu, Acha, 33, berkata filem itu mengingatkan dia pada pengalamannya sebagai pelajar kewartawanan ketika berkuliah di Malaysia sebelum ini.

Viva Westi dan Zunar, penerbit eksekutif filem Anwar

Ketika itu, katanya dia pernah membuat liputan berita berkaitan Anwar.

Sementara itu, dia juga mendedahkan terdapat “kisah tidak terungkap” dimuatkan dalam skrip tulisan Viva.

“Saya mahu jadi yang pertama tahu apa yang sebenarnya berlaku ketika itu,” katanya.