Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Diva AA yakin hayat politik Azmin 'berkubur' di Gombak

PRU15 | Pengacara sensasi, Azwan Ali, yakin kerjaya politik penyandang kerusi parlimen Gombak, Azmin Ali bakal ‘dikuburkan’ pada 19 Nov ini.

Dia yang lebih dikenali sebagai Diva AA - dan bakal bertanding sebagai calon bebas di situ - menyeru pengundi di kawasan terbabit untuk "membuka minda” sebelum memangkah.

“Saya percaya Azmin akan ‘dikuburkan’ kali ini. Kepada rakyat parlimen Gombak buka minda anda semua sebelum memangkah pada 19 Nov ini.

“Cuma itu yang saya minta,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Menurut Azwan, seseorang yang mengkhianati ikrarnya sendiri tidak boleh dibiarkan begitu saja.

“Ini bukan soal parti lagi tapi maruah. Sebabnya, kita tak boleh membeli maruah.

“Jika seseorang itu mengkhianati apa yang dilafazkannya selama bertahun-tahun, maruah dia ibarat sudah gone with the wind (diterbangkan angin).

“Jadi, bagaimana seseorang seperti Azmin wajar dihormati lagi?” katanya.

Pemilik nama penuh Mohamed Azwan Ali itu adalah salah seorang calon yang dijangka mengemukakan borang untuk menawarkan diri bertanding di kerusi Gombak pada hari penamaan esok.

Dia akan berdepan sekurang-kurangnya dua saingan lain iaitu Azmin - yang juga abang kandungnya - serta Naib Presiden PKR Amirudin Shari.

Amirudin yang juga menteri besar Selangor menjadi pertaruhan Pakatan Harapan untuk mengetepikan Azmin yang memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 48,721 pada 2018.

Bagaimanapun ketika itu Azmin bertanding sebagai calon PKR-PH.

Terharu Amirudin panggil ‘abang’

Ditanya perasaannya untuk berdepan dengan dua nama besar itu, Azwan, 56, menjawab dia tidak sabar-sabar untuk berbuat demikian dan akan hadir ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pasu, Gombak esok.

“Saya tetap gementar, namun esok saya akan dedahkan kenapa saya bertanding pada kali ini. Saya dah bersedia untuk menjawab semua soalan. Ini bukan propa (gimik).

"Memang banyak pihak menyuruh saya menentang Azmin, perkara ini dah berlarutan lama. Mereka tak sabar untuk melihat pertembungan kami,” katanya lagi.

Menyedari adat pertandingan akan ada menang dan kalah, justeru Azwan brkata dia tidak takut untuk berdepan dengan apa saja kemungkinan.

Pada masa sama, katanya, dia lebih rela kalah di tangan Amirudin berbanding Azmin.

Amirudin Shari

“Saya tak pernah bersua muka dengan Amirudin sebelum ini. Dia nampaknya amat menghormati saya apabila memanggil dengan gelaran abang. Saya amat terharu.

“Saya dah pernah menentang Azmin di kerusi DUN Bukit Antarabangsa pada PRU ke-14 dan hanya memperoleh 90 undi.

“Itu ketika Azmin mewakili PKR, sekarang dia bersama parti baru.

"Jika kalah lagi nanti, saya tetap teruskan hidup macam biasa," katanya.