Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gemar ketengah seni puji-pujian tapi 'takut' berwacana

"Kita tak suka bincang, kita suka gaduh," kata Jalaini Abu Hassan yang ditemui semasa acara bual bicara pameran Cermin di Galeri Seni Lukis Shah Alam baru-baru ini.

Pameran Cermin membawa karya dua pelukis wanita yang berpotensi besar iaitu Atiqah Khairul Anuar dan Hannah Nazamil.

Jalaini berpendapat seniman tempatan lebih cenderung menghasilkan karya tanpa mahu terlibat dalam perbincangan mengenai karya yang dihasilkan.

Mereka, katanya, gemarkan promosi karya yang bersifat puji-pujian tetapi enggan mengambil kira sama ada pujian tersebut akan mengakibatkan mereka menghasilkan karya yang lebih baik, ataupun sebaliknya.

Dewasa ini, menurutnya lagi, pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan lebih gemar melahirkan pengkarya yang 'pandai lukis' dan ini akan melahirkan seniman yang tunduk kepada kehendak pasaran.

"Apabila musim orang suka warna-warna tebal, semua artis lukis warna tebal," kata Jalaini sambil menambah, "semua nak ikut market. Buat werk sebab nak jual."

Jalaini Abu Hasasan

Dengan tiadanya perbahasan karya maka apa saja yang dihasilkan hanya wujud sebagai penghias dinding. Kerana itu menurut Jalaini kita tidak lagi menghasilkan karya-karya yang bersifat adikarya (masterpiece).

Jalaini turut kecewa apabila ada saja sebarang perbincangan mengenai karya dimulakan, maka ia dianggap sebagai usaha membunuh karya atau pun karyawan.

Hal itu, menurut Jalaini, tidak sepatutnya berlaku.

"Setiap karya yang membawa kepada perbincangan sepatutnya diraikan," katanya.

Karya tanpa kekuatan intelektual

Dunia seni lukis kita pernah digemparkan dengan aksi Salleh Ben Joned yang membuang air kecil ke atas karya Piyadesa dan kejadian itu diangkat sebagai suatu anjakan positif kepada suasana seni negara.

Namun setelah itu tiada lagi 'kejadian' yang menggegarkan untuk membuka mata kita dalam usaha memajukan seni tempatan.

Menurut Jalaini lagi, mereka yang sering bangga menjaja peristiwa tersebut juga adalah sebahagian daripada karyawan yang memandang sinis sebarang wacana seni yang diadakan bagi membincangkan karya seniman tempatan.

Jalaini akur bahawa nilai komersial adalah penting dan dia sendiri dalam berkarya turut memuatkan nilai tersebut dalam kerja tangannya.

"Saya pun buat karya untuk dijual," katanya.

Pun demikian Jalaini berpendapat sekiranya para pengkarya hanya mementingkan nilai komersial dalam menghasilkan karya tanpa sebarang kekuatan intelektual, maka ia hanya akan dirai saat ia dibeli sebelum dilupakan sejurus selepas itu.

Kerana itu Jalaini lagi menekankan bahawa lebih banyak wacana karya perlu diadakan dan ia wajib dibuat dalam suasana harmonis agar muncul hasil yang lebih baik keluar daripada seniman tempatan.

Pensyarah di Jabatan Seni Halus Universiti Teknologi Mara itu berpendapat selain daripada diajar untuk pandai melukis, penuntut juga harus dididik untuk mempertahankan karya masing-masing.

"Kalau setakat pandai melukis, gajah di zoo Thailand pun pandai melukis," katanya berseloroh.

Sentimen ini disokong Pengarah Galeri Shah Alam, Alina Abdullah. Dia berikrar untuk mengadakan wacana seni di semua pameran yang akan dianjurkan galeri berkenaan.

Pameran Cermin oleh Atiqah dan Hannah adalah acara yang harus diberikan perhatian. Karya dua pelukis itu amat berbeza apabila Hannah menumpukan perhatian kepada menghasilkan karya bersifat mujarad, manakala Atiqah cenderung kepada karya-karya yang hiper-realistik.

Namun demikian mereka seolah-olah bersatu dalam perbezaan.

Air jadi elemen utama

Keputusan mereka untuk mengadakan pameran bersama adalah langkah yang amat baik. Jika mereka memilih untuk duduk dalam pameran berkumpulan, maka karya itu mungkin akan tenggelam dan tidak diperhatikan.

Atiqah kelihatan mempersoalkan benda-benda rawak di sekitar dirinya, manakala Hannah pula cenderung untuk memahami pewarna yang digunakan.

Menurut kurator Cermin, Nazrul Hamzah, jika dilihat dengan lebih mendalam sebenarnya kedua-dua artis terbabit adalah seniman realis apabila mereka tidak mementingkan idea yang datang daripada diri sendiri, sebaliknya lebih kepada menerima keterbukaan realiti dalam menentukan visual karya.

"Saya mahu karya-karya saya mencuri perhatian dan diperkatakan apabila dipamerkan, bukan hanya menjadi penghias dinding," kata Atiqah.

Atiqah juga lebih suka membiarkan penonton membuat tafsiran sendiri pada karya-karyanya kerana ia akan memungkinkan lukisan tersebut 'hidup' dengan lebih lama.

Hannah pula memberitahu, bahan utama untuk karyanya ialah air.

Walaupun karya-karyanya dikuasai warna-warna yang bergerak bebas, Hannah memberitahu, air tetap menjadi elemen utama.

Khalayak yang melihat karya-karya Hannah hampir semuanya melihat elemen-elemen alam semula jadi seperti haiwan, pokok dan ombak.

Ia tidak menghairankan, kata Hannah lagi, kerana seperti ditegaskannya, bahan utama yang digunakan ialah air.

"Air yang semula jadi itu secara alami membentuk alam semula jadi yang lain," katanya.

Menurut Nazrul pula, Cermin bukanlah pameran yang mahu memperkenalkan pendekatan baru dalam dunia seni tempatan, sebaliknya satu penegasan bahawa pendekatan seni adalah rencam.

Katanya, ia tidak perlu terikat atau mempunyai visi terowong dalam menganalisis kerja-kerja seni.

Pameran Cermin sedang berlangsung di Galeri Shah Alam.