Ahmad Idham disebut-sebut calon GTA di Port Dickson
Bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri disebut-sebut akan menjadi calon Gerakan Tanah Air (GTA) di kerusi parlimen Port Dickson pada PRU15.
Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail yang juga Pengerusi Pejuang Negeri Sembilan dipetik Utusan Online mengesahkan perkara itu.
Dia berkata Ahmad Idham yang juga ketua penerangan GTA Negeri Sembilan sedia memberi saingan kepada mana-mana calon parti lawan di kerusi tersebut.
Ini, kata Mohamad Jani termasuk jika PH mempertaruh Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun di kerusi parlimen itu.
“Kami sudah lakukan kajian dan turun padang tiga bulan sebelum ini ke akar umbi (Port Dickson). Kami bawa Ahmad Idham dan respon begitu baik kami terima.
"Masyarakat Port Dickson menyambut baik Ahmad Idham sebagai calon GTA,” kata Mohamad Jani.
GTA merupakan gabungan politik Melayu pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan berhasrat untuk bertanding di 120 daripada 222 kerusi parlimen pada PRU15.
Mahathir yang juga pengerusi GTA sebelum ini memaklumkan gerakan itu akan bertanding di kerusi majoriti Melayu khususnya kawasan tradisi Umno.
Penerbit dan pengarah filem terkenal itu sebelum ini berkata dia bersama dengan GTA selepas mendengar penjelasan daripada pengerusi penaja gerakan itu, Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 17 Ogos lalu.
Ahmad Idham menyertai Bersatu pada April tahun ini namun memaklumkan meninggalkan parti itu pada 1 Julai lalu.
Untuk rekod, pada Nov 2021, pengarah filem Impak Maksima dan Hantu Bonceng itu dilantik sebagai setiausaha kebudayaan, Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra.
Bagaimanapun, hanya lima bulan selepas pelantikan itu, khidmatnya ditamatkan menerusi surat bertarikh 23 Feb 2022.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai