Zul tanya produksi Perempuan Itu: Nak bincang atau tidak?
“Macam mana cara dan pendekatan seseorang itu berbincang, begitulah juga lebih kurang sikap dia terhadap kita,” kata Zul Ariffin mengenai kontroversi menghimpit Perempuan Itu.
Pelakon berkenaan mengulas kenyataan tersebut ketika ditanya mengenai kesediaannya untuk mempromosi drama bersiri terbitan Erma Fatima selepas dia didenda RM30,000 kerana memuat naik kandungan bersifat sumbang di media sosial pada Mac lalu.
“Saya dah selesai jalankan tanggungjawab. Saya mengaku bersalah dan sudah bayar denda. Adakah mereka ingin berbincang lagi mengenainya? Saya tak tahu.
“Tapi adakah mereka datang ke mahkamah sebelum ini?” soalnya.
Kata Zul, 35, dia sebenarnya bersikap terbuka untuk berbincang dengan pihak produksi Perempuan Itu asalkan mereka mahu berdepan dengannya bagi merungkai isu yang dihadapi.
“Semua perkara boleh dibawa berbincang, (cuma) sama ada mereka mahu berbincang dengan baik atau tak nak langsung berbincang,” tambahnya.
Zul berkata demikian ketika ditemui pada sesi pratonton filem terbaru lakonannya, Talbis Iblis, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur kelmarin.
Selain Zul, turut menjayakan filem arahan Kabir Bhatia itu ialah Nasha Aziz, Azira Shafinaz, Sherie Merlis, dan Jay Iswazir.
Naskah genre seram itu bakal menemui penonton di pawagam di Malaysia dan Singapura bermula 20 Oktober ini.
Pada 18 Mac lalu, Zul menimbulkan kontroversi selepas berkongsi video babak berunsur lucah bersama pelakon Siti Hariesa bagi tujuan promosi Perempuan Itu di akaun Instagramnya.
Tindakan Zul itu mengundang bantahan warga maya memandangkan drama berkenaan bakal ditayangkan pada Ramadan.
Kontroversi itu turut mendapat perhatian kerajaan dan pelakon terbabit kemudian disiasat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Berkaitan memuat naik satu ciapan baru-baru ini - antaranya menyebut: kurangkan makan cili, nanti menggelupur - Zul mendakwa, ayat itu bukan bertujuan untuk menyindir mana-mana pihak.
Zul menjelaskan, ciapan itu tidak mengandungi sebarang maksud tersirat, sebaliknya sekadar gurauan biasa dan nasihat umum kepada semua orang.
“Kalau tak makan cili, tidak perlulah menggelupur. Orang yang makan cili memang selalu menggelupur.
“Kalau betul ada yang terasa, maknanya ada orang itu sedang makan cili," katanya diiringi ketawa, "lain kali, bacalah ciapan awal saya dulu supaya tidak menggelupur.”
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai