Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Muda anggap Kedah terburu-buru haramkan konsert

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Kedah menyatakan bantahan mereka terhadap keputusan kerajaan negeri yang mengharamkan serta-merta acara konsert susulan kejadian dalam program Muda-mudi Weekend Fest (MMWF) baru-baru ini.

Pengerusi Muda Kedah, Muhammad Faqrul Asyraf Mohd Faizol, berkata konsert itu menerima kecaman adalah kerana pemilihan tempat yang kurang sesuai dengan aktiviti tersebut.

Menurutnya, pihak yang mengeluarkan lesen perlu lebih cakna dengan isi aktiviti tersebut supaya dapat ditempatkan di kawasan yang bersesuaian.

"Dengan ekonomi semasa yang semakin tenat, kerajaan negeri perlu menyokong usaha anak muda untuk berjinak dalam perniagaan dan seni hiburan.

"Muda Kedah kesal dengan tindakan terburu-buru kerajaan negeri yang mengharamkan terus tanpa melakukan siasatan yang menyeluruh terhadap isu ini.

"Langkah kerajaan negeri itu ibarat menutup periuk nasi anak muda," katanya kenyataan ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Muhammad Faqrul Asyraf

Terdahulu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan semua acara konsert hiburan diharamkan serta-merta penganjuran konsert di negeri itu ekoran insiden dalam program MMWF yang tular di media sosial.

Sebaliknya kata Sanusi kerajaan negeri menggalakkan sebarang acara yang menyihatkan badan seperti program larian, berbasikal, memancing dan lain-lain selagi ia selari dengan tatasusila masyarakat tempatan.

Justeru Muda mencadangkan dan mendesak pihak kerajaan negeri mewujudkan sebuah hub anak muda di negeri terbabit bagi mengelakkan perkara seumpama itu berulang.

"Hub anak muda ini akan membawa seribu satu kebaikan kepada golongan Muda di Kedah.

"Sebagai contoh, ia dapat dijadikan sebagai salah satu platform perniagaan untuk mereka menjana pendapatan.

"Aktiviti konsert, pameran kesenian dan kebudayaan dan banyak lagi, akan dapat berlangsung dengan lancar tanpa menyentuh sensitiviti agama," kata Muhammad Faqrul.

Tambahnya, Muda percaya aktiviti itu akan menyumbang kepada peningkatan positif dalam industri hiburan, dan menarik ramai pelancong luar untuk berkunjung ke Kedah.

"Dengan adanya sebuah platform dan lokasi strategik bagi anak-anak muda membawa ekspresi diri masing-masing, dengan izin Allah tidak akan berlaku lagi sebarang masalah yang menyentuh sensitiviti masyarakat," ujarnya.