Parti politik kini nampak nilai tinggi pada artis, kata Seniman
Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi berkata, seseorang artis semakin dilihat relevan selepas ada antara mereka digunakan sebagai sebahagian daripada mekanisme parti politik menjelang pilihan raya umum (PRU).
Menurutnya, pembabitan penggiat seni sebagai daya penarik itu adalah petanda positif kepada dunia hiburan negara.
“Sebelum ni, golongan artis dianggap serpihan saja, waktu PRU sedang berlangsung baru nak guna.
“Namun, setiap parti ada strategi dan agenda tersendiri. Dalam hal ni, parti politik dah nampak tingginya nilai yang dibawa oleh seseorang artis.
“Justeru, kelebihan yang ada pada mereka dianggap sebagai satu senjata wajib ada dari awal untuk memenangi PRU ke15,” katanya kepada Malaysiakini.
Zed dihubungi bagi mendapatkan pandangan Seniman mengenai pemilihan pelakon Adi Putra sebagai ikon Pemuda BN Selangor.
Pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim itu juga menyatakan kesanggupannya melapangkan masa bagi membantu jentera Pemuda BN di negeri-negeri lain menjelang PRU ke-15.
Ketua Pemuda BN, Asyraf Wajdi Dusuki, pelakon hero Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu dilantik susulan fenomena filem arahan Syamsul Yusof baru-baru ini.
Kata Zed, 42, selain memperjuangkan isu-isu seputar masyarakat setempat, penggiat seni yang menceburkan diri dalam bidang politik boleh juga menjadi jurubicara isu industri agar ia boleh diangkat ke tahap lebih tinggi.
“Jika masuk politik, fokusnya lebih menyeluruh dan perjuangan yang lakukan demi masyarakat.
“Pada masa sama, mereka boleh perjuangkan isu seni ke tahap lebih tinggi sebab memahami bidang itu secara dekat,” jelasnya.
Bebas sertai parti politik
Artis yang membabitkan diri dengan politik bukanlah perkara asing di negara ini.
Sebelum ini, terdapat beberapa selebriti seperti Shahrol Shiro, Aishah, Herman Tino, Dayang Ku Intan dan Anne Ngasri yang terlibat secara serius dalam berpolitik.
Dira Abu Zahar pula bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Rim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu. Pelakon dan pengacara itu kini menjadi Timbalan Speaker DUN Melaka.
Pada 8 Julai lalu pula, penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali Altimet diumumkan sebagai ketua PKR Ampang selepas menewaskan seorang lagi calon, Hans Isaac, yang terkenal sebagai pelakon.
Sementara itu, penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nazri, berkata semakin ramai penggiat seni kini membuka mata kepada keperluan berpolitik.
Namun, katanya, apabila menceburkan diri dalam bidang tersebut, mereka sewajarnya menyumbangkan tenaga dan usaha untuk membantu masyarakat, bukannya sekadar menjadi maskot.
“Rakyat Malaysia bebas untuk menyertai mana-mana parti. Dari sudut positif, anak seni kini semakin serius untuk berada dalam politik.
“Apabila masuk dalam parti, buatlah kerja untuk disumbangkan kepada masyarakat. Bukan semata-mata untuk dijadikan maskot dalam parti.
“Saya percaya, setiap anak seni mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh membantu mengukuhkan parti mereka ceburi, ” tegasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai