Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Alicia puas hati semakin ramai model terima bayaran

Model sensasi, Alicia Amin, meluahkan rasa lega apabila protes terbukanya dalam isu kelewatan bayaran membuahkan hasil positif dan membantu lebih ramai peragawan mendapat hak masing-masing.

Malah, katanya, ada antara mereka berpeluang menggunakan wang bayaran tersebut untuk urusan perkahwinan.

Alicia yang juga pelakon itu juga memaklumkan, setakat ini sudah lapan orang model menerima bayaran penuh mereka selepas tertangguh sejak 2019.

“Saya lega kerana lapan model yang datang meminta bantuan saya dah terima bayaran mereka. Cuma ada tiga orang saja yang belum dibayar lagi.

“Ada seorang model beritahu dia sangat gembira kerana dengan bayaran tersebut, wang berkenaan boleh digunakan untuk berkahwin,” ujarnya pada majlis tayangan perdana filem Rasuk di GSC Tropicana Mall, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

Pada 18 Ogos lalu, Alicia tampil berani membangkitkan isu bayaran tertangguh dengan memegang plakad dan membuat bantahan berhubung isu model yang sudah melunaskan tanggungjawab di pentas peragaan tetapi tidak menerima upah yang dijanjikan.

Protes itu dilakukan Alicia berseorangan ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2022 sedang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur. Acara tersebut diraikan mulai 17 Ogos hingga 21 Ogos lalu.

Katanya, walaupun berasa serba salah kerana bekerja dengan penganjur sama, Alicia memaklumkan tindakan diambil selepas usahanya untuk mengajak mereka berbincang gagal membuahkan hasil.

Alicia juga berkata, pernah ada syarikat guaman menawarkan bantuan untuk membawa isu tersebut ke mahkamah, namun dia tetap memilih untuk berunding secara baik.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, penganjur telah membuat bayaran segera kepada empat model terbabit.

Mengulas lanjut, Alicia atau nama penuhnya Raja Alicia Raja Amin, berkata kegembiraannya tidak terhenti setakat itu apabila dia turut dihujani ucapan terima kasih sewaktu terbabit dalam KLFW 2022.

“Ada seorang model senior berterima kasih kerana akhirnya dia menerima RM17,000 bayaran yang sebelum ini tertangguh. Dia kata, semuanya dah dibayar.

“Jika seorang model bukan bertaraf selebriti menerima wang terkumpul sebanyak tu bererti dah terlalu banyak tugasan yang dilakukannya,” jelasnya.