Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pergolakan politik: Pandir sungguh kita ni weh, kata Azhar

Pergolakan politik yang berlaku dalam negara sekarang ini, menurut pandangan Azhar Sulaiman, sudah sampai ke tahap yang sedih dan memalukan.

Kata pelakon itu, ketika apa yang diperlukan orang ramai ialah pentadbiran yang mengutamakan rakyat, mereka bahkan dihadapkan dengan pelbagai kerenah pemimpin yang tidak sekepala dan sentiasa bertelagah.

Pertikaian tersebut, menurut Azhar, menyaksikan negara ini bertukar perdana menteri sebanyak tiga kali sejak pilihan raya umum (PRU) diadakan pada 2018 lalu.

“Bak kata orang Pahang, pandir sungguh kita ni weh…” katanya kepada Malaysiakini.

Justeru, Azhar, 51, berpendapat pilihan paling waras yang ada sekarang ialah memberi peluang kepada kabinet Ismail Sabri Yaakob untuk terus berkhidmat dan memulihkan semula keadaan ekonomi negara.

Kata pelakon 1957: Hati Malaya itu lagi, sekalipun kerajaan ditukar segera, tidak mungkin masalah yang sedang menghimpit negara sekarang mampu ditangani secara mendadak.

“Kita tak boleh harapkan perkara magik berlaku untuk mereka selesaikan segala isu sekali gus.

“Jika tukar perdana menteri sekalipun, adakah keadaan rakyat boleh berubah secara drastik?” soalnya.

Nampak pembangunan berjalan

Semalam, Azhar memuat naik hantaran di media sosial yang mengajak orang ramai berfikir dari mana Umno dan BN boleh memperoleh dana untuk membiayai kos parti itu mengharungi PRU - yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan mereka memerlukan peruntukan sehingga RM1 bilion untuk mengendalikan PRU ke-15.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, berkata peruntukan itu termasuk untuk pelbagai latihan dan kursus intensif kakitangan yang berkenaan sebagai persediaan.

Tidak seperti kebanyakan negara demokrasi di dunia, Malaysia kekal tidak mengumumkan tarikh pelaksanaan PRU lebih awal, sebaliknya ia hanya diumumkan pada saat-saat akhir.

Ia sekali gus memberikan kelebihan besar kepada kerajaan untuk membuat persediaan.

Ketika PRU ke-15 masih menjadi rahsia, Umno - khususnya beberapa pemimpin terkanan parti berkenaan - secara terbuka mendesak Ismail Sabri memulakan langkah membubarkan parlimen.

Tidak seperti sebelum ini, jawatan perdana menteri Malaysia sekarang tidak disandang oleh seorang presiden parti. Untuk rekod Ismail Sabri hanyalah naib presiden Umno dan dia dilihat menerima tekanan daripada pemimpin tertinggi partinya untuk segera membuka laluan kepada PRU.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini secara terbuka mendakwa akar umbi parti itu jelas menghantar isyarat mahu PRU diadakan segera walaupun negara berdepan dengan kemungkinan banjir besar atau musim tengkujuh tidak lama lagi.

Pada masa sama Ismail Sabri belum memberikan sebarang isyarat jelas mengenai langkahnya.

Azhar berkata dia yakin rakyat perlu mendapat ‘rehat’ daripada berterusan mendengar cerita dan agenda perang politik yang tidak berkesudahan.

Ketika ini, Azhar yang juga pelakon Trauma itu, rakyat lebih mengharapkan kerajaan membawa berita mengenai agenda pelan membaik pulih negara selepas pelbagai pihak terkesan dengan pelbagai cabaran.

“Saya orang lahir pada 1971, dah tentu nampak bagaimana pembangunan dijalankan di negara ini.

"Saya membesar di Kuala Lumpur dan sempat mengalami bermacam kesukaran - daripada tak ada apa-apa kepada ada; daripada keadaan tak bagus, jadi lebih bagus.

“Tapi, kita sekarang kena bekerja keras untuk menghadapi kos sara hidup yang tinggi khususnya jika menetap di bandar. Tahun depan pula Malaysia dan dunia diramal berdepan masalah ekonomi.

“Sesiapa saja yang jadi perdana menteri baru bakal berdepan cabaran lebih besar tahun depan,” katanya.