Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pesta filem FFF2022 ajak bina semula lepas pandemik

ULASAN | Ada kawan pernah kata: “Sheridan, filem-filem yang kau ‘promote’ ni semua jenis serius dan sedihlah. Siapa nak datang tengok?”

Itu pandangannya sebelum ditarik untuk mencuba salah satu daripada “filem serius” tersebut yang dihasilkan oleh Freedom Film Network (FFN), sebuah pertubuhan sivil yang membangunkan filem untuk menjana impak sosial.

FFN kerap menganjurkan sesi tayangan tertutup bersama kelompok masyarakat seperti guru, petani, warga emas, karyawan, persatuan penduduk, aktivis sivil dan mahasiswa.

Pada 9 hingga 17 Sept, FFN akan kembali dengan pesta FreedomFilmFest 2022 (FFF 2022) di Petaling Jaya. Sebanyak 34 karya yang memaparkan isu sosial dan hak asasi manusia bakal ditayangkan.

Semasa sibuk menguar-uarkan FFF 2022, teringat pula saya pada rakan itu dan pandangan serongnya dahulu.

Seperti yang kawan saya jangkakan, subjek filem yang ditontonnya memang ‘serius’ iaitu sistem penapisan filem di Malaysia dan impaknya terhadap industri filem serta masyarakat umum. Sesi itu bersama pembikin filem muda dan pelajar kursus perfileman.

Tetapi apa yang sahabat saya tidak jangkakan adalah, walaupun topik itu serius, dia masih seronok, menghayati dan menghargai keseluruhan sesi tayangan.

“Memang best. Aku datang baru aku nampak apa yang kau kata. Filem ini penting dan orang Malaysia perlu menonton lebih banyak filem macam ni,” kata rakan itu sambil menarik nafas panjang selepas sesi itu berakhir.

Ia bukan satu pandangan yang luar biasa; ia sesuatu respons yang kerap didengar oleh FFN daripada peserta setiap sesinya.

Rahsia FFN bukan sahaja terletak pada kualiti filem yang dihasilkan. Yang sama penting adalah diskusi yang diaturkan - sejurus selepas tayangan - di antara penonton bersama pembikin dan pakar subjek karya tersebut.

Interaksi ini yang sebenarnya melengkapkan pengalaman sesi FFN. Tayangan menyalakan semangat manakala diskusi menyalurkan api tersebut kepada tindakan yang memberi kesan.

Interaksi penonton, pembikin dan subjek filem sosial FFN membina satu pertalian empati di antara mereka dan bakal mengubah penonton yang pasif kepada seorang peserta yang aktif.

Pembukaan minda dan hati ini yang akan mencetuskan perubahan sosial seperti yang dikatakan ahli falsafah Herbert Marcuse: “Karya seni hanya dapat mengubah dunia sekiranya ia dapat mengubah hati manusia. Kerana manusia itu yang akan mengubah dunia”.

Antara filem terbaru FFN yang dapat melakukan impak ini ialah “Meniti Senja” dan “Petani Bukan Pemalas”, yang kedua-dua diterbitkan pada 2020.

Lily Fu, pengarah “Meniti Senja” pernah berkata bahawa kempen tayangan dan diskusi sepanjang 2021 telah memperluaskan kesedaran tentang trend penuaan masyarakat Malaysia dan kebajikan warga emas berpendapatan rendah.

Hasilnya, Lily dijemput untuk menyertai satu inisiatif kerajaan bagi melakar dasar untuk isu-isu tersebut.

Ambil bendang petani jadi estet padi

Ikon petani dalam “Petani Bukan Pemalas” pula membakar semangat peladang dan petani, khususnya dalam industri padi, untuk lebih gigih dalam bersatu dan bersuara menentang amalan-amalan monopoli yang mencengkam mereka.

Tayangan dan diskusi bukan hanya dilakukan dalam kalangan petani, tetapi bersama mahasiswa, guru dan aktivis politik bagi mendapat sokongan masyarakat awam.

"Penentangan pesawah terhadap sistem bekalan benih dalam filem itu kini menjurus kepada gerakan membantah usaha untuk mengambil bendang mereka agar boleh dijadikan skim estet padi," kata Nurfitri Amir pengarah filem tersebut.

Seperti 2020, pesta tahun ini menawarkan susunan filem yang kritis dan menginspirasikan tentang isu-isu sosial seperti kepincangan perancangan bandar dan kerajaan tempatan, kelemahan sistem sekolah awam dan stigma masyarakat terhadap penyakit mental.

Ini hanya sebahagian daripada sekian banyak topik yang akan dikupas oleh 12 filem tempatan yang dihasilkan oleh FFN.

Kebiasaannya tumpuan adalah kepada empat filem yang diterbitkan melalui dana khas FFN iaitu:

* ‘Cant Run, Can’t Hide’ – mengenai gerakan penduduk di Kuala Langat Selangor, membantah pembinaan kilang industri berat di dalam taman perumahan mereka.

* ‘GreyScale’ – memaparkan rintangan yang terpaksa dilalui warga emas yang hidup keseorangan di tengah-tengah bandar Pulau Pinang yang mengalami gentrifikasi.

* ‘Jiwa Pendidik’ – sekumpulan guru sekolah di Cheras yang menempuh pelbagai kesukaran dalam sistem pendidikan untuk memberi yang terbaik bagi anak murid mereka dari keluarga berpendapatan rendah.

* “Fafa: Perjuangan yang Tak Didendang – bagaimana stigma masyarakat menyukarkan penghidap penyakit mental di Malaysia mendapatkan rawatan dan sokongan.

Di samping itu, FFN akan membawa lima filem yang dihasilkan aktivis Orang Asli dan beberapa dokumentari dari Myanmar, Thailand dan Indonesia. Turut ditayang ialah filem-filem sosial antarabangsa tentang korupsi yang membawa maut (Collective), penggunaan propaganda pada zaman pandemik (In the Same Breath) dan eksploitasi dalam ekonomi gig (Sorry We Missed You).

Butiran penuh mengenai pesta boleh diperolehi pada pautan di sini.

Mungkin ada yang bertanya: "Pandemik dah berlalu dan orang nak ‘move- on’. Buat apa nak tengok cerita-cerita tentang pandemik?”

Benar, kita harus move-on atau bergerak ke hadapan daripada pandemik. Tetapi realitinya Covid-19 mendedahkan berbagai kelemahan dalam sistem pendidikan, kesihatan, perancangan komuniti, penjagaan alam sekitar dan keselamatan Malaysia.

Masalah-masalah ini perlu diperbaiki sekiranya kita mahu bangkit dan membina semula negara untuk bergerak ke satu tahap yang lebih baik.

Kalau kita serius untuk mencari solusi, kita mesti berani mengimbas kembali dan berdepan masalah-masalah tersebut. Pesta FFF 2022 adalah sebahagian daripada proses untuk mencari solusi itu.


SHERIDAN MAHAVERA ahli Freedom Film Network.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.