Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Yonnyboii menang Album Terbaik, bawa pulang DKD RM200,000

Album Yonny (Deluxe Version) nyanyian Yonnyboii dinobat Album Terbaik sekaligus melayakkan pemenangnya menerima Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik sebanyak RM200,000 pada Anugerah Industri Muzik edisi ke-23 (AIM23) yang melabuhkan tirainya sebentar tadi.

Lagu Goodbye Hello nyanyian pasangan suami isteri terkenal, Syamel dan Ernie Zakrie pula dinobat sebagai Lagu Terbaik. 

Lagu itu mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik Ernie Zakri, Syamel, Faizal Tahir dan Mike Chan.

Kemenangan itu sekaligus melayakkan kedua-dua pemenang berkenaan membawa pulang DKD berjumlah RM50,000.

Selain itu, Ernie dan Syamel juga memenangi Lagu Pop Terbaik menerusi lagu sama.

Ernie juga memenangi persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) melalui Sinar Mata Hati.

Bagi pemenang Artis Baru Terbaik, anugerah itu menjadi milik Vanessa Reynauld yang tercalon menerusi lagu Buat Ku Sempurna. Kemenangan itu juga melayakkannya membawa pulang DKD RM50,000.

Untuk Video Muzik Terbaik, dimenangi oleh lagu Gatal melalui nyanyian Janna Nick. Janna, membawa pulang DKD RM20,000. 

Sementara itu, Dayang Nurfaizah yang diramal mendominasi AIM23 berjaya membawa pulang tiga anugerah melalui Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu Tudung Periuk.

Penyanyi kelahiran Sarawak itu juga memenangi Rakaman Album Terbaik melalui Belagu.

Terdahulu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur mengumumkan buat julung kalinya, empat pemenang kategori terbaik AIM23 diumumkan bakal menerima DKD Industri Muzik.

Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim berkata, inisiatif itu diberikan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) untuk pemenang Artis Baru Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik sebagai satu bentuk galakan dan insentif kepada penggiat industri muzik.

Pemenang Anugerah Sri Wirama pula diberikan kepada Tan Su Loke. Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa disaksikan Rosmin. Su Loke antara individu terpenting di sebalik kejayaan penyanyi Siti Nurhaliza.

AIM23 dipancarkan dari Majlis Bandaraya Shah Alam dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria bermula jam 9 malam tadi.

Seramai 113 juri terbabit dalam penilaian untuk 21 kategori. Setiap kategori diadili tujuh hingga 10 pakar dalam bidang masing-masing.

Berikut senarai pemenang keseluruhan:

Album Terbaik

Yonny (Deluxe Version) - Yonnyboii

Lagu Terbaik

Goodbye Hello (Syamel dan Ernie Zakri)

Artis Baru Terbaik

Vanessa Reynauld (Buat Ku Sempurna)

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)

Arddley Nicholas (Pilu)

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)

Ernie Zakri (Sinar Mata Hati)

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu

VE (Tunggu)

Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu

Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia)

Kulit Album Terbaik

Adat Kasih (Zeha Salleh)

Rakaman Lagu Terbaik

Tudung Periuk (Dayang Nurfaizah)

Rakaman Album Terbaik

Belagu Dayang Nurfaizah

Video Muzik Terbaik

Gatal (Janna Nick)

Lagu Pop Etnik Terbaik

Adat Kasih (Zeha Salleh)

Lagu Nasyid Terbaik

Thank You Allah (Alyah ft Cat Farish dan Haris)

Runut Bunyi OST Terbaik Di Dalam Filem/Drama

Bahagiakan Dia (Shila Amzah dan Liza Hanim)

Lagu Rock Terbaik

Tugu Ugut (Sekumpulan Orang Gila)

Lagu Pop Terbaik

Goodbye Hello (Syamel dan Ernie Zakri)

Lagu R&B/Hip Hop Terbaik

Ciao (Joe Flizzow)

Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik

Fun, Lust, Love (Late Night Frequency)

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik

Game Of Charades (Sophia Zuhri)

Lagu Cina Tempatan Terbaik

Wu Ren Qian Shou De Xin Fu (Uriah)

Lagu Bahasa Melayu Terbaik (Artis Luar Negara)

Tak Ingin Usai (Keisya Levronka)

Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu

Tudung Periuk (Dayang Nurfaizah)

Pemenang Anugerah Sri Wirama

Tan Su Loke