Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Abang sulung Uyaina Arshad meninggal dunia

Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad berkongsi khabar duka abangnya, Mohd Attaful Uzair meninggal dunia akibat serangan jantung jam 9 malam tadi.

Melalui Instagram, Uyaina berkata, tambah menyedihkan apabila tarikh Mohd Attaful, 35, pergi ke alam abadi bersamaan sambutan ulang tahun ibu mereka, Siti Noor Farah Jaafar, hari ini.

“Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi Ummi… Lama dia plan nak sambut hari jadi Ummi.. Akhirnya, hari lahir Ummi diiringi dengan pemergian anak sulungnya… Allahuakbar,” luahnya.

Menurut pemilik nama penuh Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 29, itu, Mohd Attaful, seorang individu yang sangat baik, pemurah dan penyayang. 

Uyaina Arshad

Kata anak bongsu daripada empat beradik itu, allahyarham sedia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas pemergian arwah bapa mereka.

Bahkan, ketiadaan Mohd Attaful bagaikan tidak boleh dipercayai sedangkan baru semalam mereka sekeluarga baru berjumpa meluangkan masa bersama-sama.

“Orang baik selalu pergi dulu.

“Dia tersangat baik. Terlalu baik. Anak yang baik. Abang yang baik. Suami yang baik. Ayah yang baik. Lepas arwah Baba meninggal, dia jadi ketua keluarga,” katanya.

Mohd Attaful yang bertugas sebagai doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dipercayai mengalami serangan jantung ketika menjalani aktiviti berbasikal.

Bukan setakat itu, kata pelakon Lelaki Kiriman itu, arwah abangnya juga sentiasa menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada adik-beradik.

Jelasnya, Mohd Attaful seorang yang berjaya dalam pelajaran.

“Dari kecil lagi dia dah tunjuk contoh yang baik untuk kami adik-adik. Dia masuk asrama. Kami semua nak masuk asrama.

“Dia berjaya dalam pelajaran. Kami semua nak berjaya dalam pelajaran. Dia sentiasa dahulukan Ummi. Kami adik-beradik berebut nak berbakti untuk Ummi,” katanya.

Jenazah Mohd Attaful akan disolatkan di Masjid Angkatan Tentera Malaysia Sultan Mizan selepas solat Jumaat.