Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Fedi sokong keputusan Laudya tinggalkan dunia seni

Pelakon terkenal Indonesia, Fedi Nuril, berkata sebagai seorang sahabat dia memang menyokong tindakan Laudya Cynthia Bella untuk meninggalkan dunia seni.

Menurutnya, keputusan itu dirasakan terbaik buat Laudya memandangkan pelakon itu kini banyak menjaga batas-batasnya ketika berlakon bersama watak bukan mahram.

“Saya sebagai rakan, sokong apa pun yang akan membuatkan dia tenang.

“Boleh dilihat jika sewaktu penggambaran yang Laudya tak mahu bersentuhan.

“Bagi saya, kerjaya sebagai seorang pelakon agak sukar buat seseorang sepertinya apatah lagi jika dia diminta pengarah melakonkan babak romantis seperti pasangan suami dan isteri,” katanya.

Mengulas lanjut, pemilik nama penuh Fredian Nuril itu berharap, Laudya akan menemui apa yang dicari-cari selama ini.

Kata Fedi, 40, jika dengan bersara daripada bidang seni mampu membuat Laudya bahagia, maka perkara itulah yang harus dilakukannya.

“Saya harap dia menemui ketenangan dan kedamaian,” katanya ketika ditemui selepas pratonton filem terbaru lakonannya, Satria Dewa: Gatotkaca di Petaling Jaya baru-baru ini.

Sudah rancang lama

Naskhah arahan Hanung Bramantyo itu berkisahkan adiwira yang diinspirasi daripada kisah mitos Mahabharata untuk persembahan wayang kulit di Indonesia.

Selain Fedi, pelakon lain yang turut menjayakan naskhah sedang ditayangkan di pawagam itu ialah Rizky Nazar, Yasmin Napper, Yayan Ruhian, Cecep Arif Rahman dan Edward Akbar.

Terdahulu, Laudya yang dikatakan sudah menikahi seorang lelaki dari Dubai mengumumkan persaraannya dari dunia seni secara mengejut baru-baru ini.

Katanya, dia tidak akan muncul dalam mana-mana filem lagi selepas ini.

Menurut pelakon Surga Yang Tak Dirindukan itu, dia sudah lama merancang untuk berbuat demikian namun hatinya tidak cukup kuat.

Ditanya sama ada Laudya ada meminta pendapatnya atau tidak sebelum membuat keputusan tersebut, Fedi menjawab: “Tiada.”

Namun menurut aktor Ayat-ayat Cinta itu, sekalipun ada, dia tetap akan memberi nasihat agar Laudya memikirkan keputusan yang membawa faedah terbaik buatnya.

“Kalau ada pun saya tetap akan nasihatkan dia untuk buat apa yang akan menjadikan dia gembira,” katanya.