Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ada pihak pertikai kewajaran Rizky Nazar jadi Gatotkaca

Pelakon Indonesia, Rizky Nazar, berharap penonton tidak menilai bakat seseorang pelakon hanya melalui luaran sebaliknya memberikan kepercayaan untuk dia menggalas watak adiwira Gatotkaca.

Kata Rizky, sebaik namanya diumumkan untuk menjayakan watak utama itu dalam Satria Dewa: Gatotkaca, muncul segelintir pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

“Ada pihak yang berkata, wajah saya tak sesuai langsung sebab terlalu manis atau terlalu muda, justeru mereka mahukan pelakon yang lebih matang.

“Sebenarnya memang ramai yang tak menjangka saya yang diberi peluang untuk melakonkan watak Gatotkaca tersebut, terutamanya kerana sebelum ini saya banyak mendominasi lakonan untuk drama dan kisah romantis,” ujarnya.

Menurut pemilik nama penuh Rizky Nazar Mubarak Basloom itu, dia sendiri pada awalnya mempunyai perasaan ragu-ragu untuk membawa watak yang menjadi mitos Hindu dalam karya Mahabharata berkenaan.

Namun, katanya, apabila mengenangkan peluang sebegitu mungkin tidak datang bergolek dua kali, Rizky, 26, terus menerima tawaran daripada pengarah Hanung Bramantyo itu.

“Pada awal pemilihan uji bakat, saya memang teruja kerana akhirnya berjaya terpilih menjadi sebahagian daripada produksi Satria Dewa: Gatotkaca.

“Tapi muncul pula perasaan bimbang sama ada boleh atau tidak saya menjiwai watak yang besar malah naskhah yang mendapat arahan pengarah terkenal seperti Hanung.

“Saya yakin, pasti ramai yang tidak sabar untuk melihat hasil garapan Hanung di panggung,” katanya.

Rizky berkata demikian selepas majlis pratonton Satria Dewa: Gatotkaca di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya kelmarin.

Naskhah itu diadaptasi daripada perjalanan hidup tokoh berketurunan Pandawa yang biasanya dipersembahkan untuk permainan wayang kulit.

Ia berkisahkan Yuda (Rizky) yang baru saja kehilangan pekerjaan dan perlu menjaga ibunya, Arimbi (Sigi Wimala) yang hilang ingatan.

Yuda menerima pekerjaan untuk mengambil gambar graduan kawan kolejnya, Erlangga (Jerome Kurnia). Namun, dia menyaksikan sahabat baiknya itu dibunuh oleh golongan Kurawa.

Dalam Mahabharata, Gatotkaca diceritakan memiliki kekuatan luar biasa hingga mampu terbang tanpa sayap dan dalam perang besar di Kurukshetra, dia menewaskan banyak sekutu Kurawa sebelum akhirnya gugur di tangan Karna.

Filem yang sedang ditayangkan di pawagam itu menjadi filem pertama dari siri Satria Dewa Semesta.

Mengulas cabaran membawakan watak Gatotkaca, Rizky berkata, dia perlu berlatih adegan berlawan selama tiga bulan berturut-turut.

Katanya, tidak mudah untuknya menguasai koreografi berlawan memandangkan dia digandingkan dengan pelakon seperti Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman.

“Sulit, sebab ada adegan panjang dan badan Cecep sangat keras. Apabila memukul tubuhnya, saya yang terasa sakit,” selorohnya.