Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jovian: Ismail Sabri bantu secara tak langsung saja

Pereka fesyen Jovian Mandagie mengakui terkilan susulan dakwaan dia menggunakan pengaruh bapa mentuanya yang juga Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob demi tujuan peribadi.

Bagi Jovian, tidak wajar ada pihak menuduh sedemikian terutama kerana dia tidak pernah berhasrat untuk mengambil kesempatan.

“Saya manusia biasa, jadi tentu ada rasa kecil hati, tapi saya tak ambil secara peribadi kerana saya seorang yang sangat positif.

“Orang selalu kata saya dibiayai oleh duit kerajaan padahal sedikit pun saya tak pernah ambil kesempatan,” ujarnya.

Jelasnya, selama ini dia memulakan perniagaan melalui wang peruntukkan daripada ibunya sebanyak RM5,000 saja.

Tambahnya, perniagaan itu kemudian dikembangkan sehinggalah dia dipertemukan dengan beberapa pelabur persendirian.

Menguatkan lagi kenyataannya itu, Jovian berkata, bagaimana seseorang yang mengambil kesempatan boleh membuka butik yang menelan belanja berjuta-juta.

Sedangkan katanya, ketika itu dia belum lagi berkahwin dengan Nina Ismail.

“Jika nak kata saya ambil kesempatan, bagaimana saya boleh buka butik di Jalan Maarof, Bangsar yang harganya menelan belanja hingga jutaan ringgit.

“Masa tu saya belum kahwin dengan Nina lagi,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran korset Wonder Suit by Jovian yang diadakan di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya hari ini.

Pada majlis Wonder Suit by Jovian, pereka fesyen itu turut memperkenalkan empat selebriti terkenal sebagai duta produk iaitu Rozita Che Wan, Ning Baizura, Ifa Raziah, Sherry Alhadad dan Dolla.

Terdahulu, nama Jovian sering menjadi bahan perdebatan di media sosial apabila setiap perniagaan yang diusahakan pasti dikaitkan dengan penggunaan duit kerajaan atas alasan dia menggunakan kelebihan yang ada pada bapa mentuanya itu.

Kontroversi terbaru pula menunjukkan Jovian mempunyai akses kepada setiausaha akhbar Ismail Sabri, Azmi Tarmizi.

Malam tadi, Azmi berkongsi jemputan untuk sidang media hari ini mengenai produk fesyen terbaru Jovian melalui kumpulan pemesejan WhatsApp yang dimaksudkan untuk wartawan menghubungi pihak perdana menteri.

Bagaimanapun, Jovian tidak menafikan bapa mentuanya itu memainkan peranan dalam membantu dia mempromosi produk keluarannya dan ia berlaku ketika awal penularan Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurutnya, pada ketika itu Ismail membuka jalan dengan meluaskan platform untuknya apabila PM itu memakai pelitup muka jenama dan pakaian keluarannya setiap hari di kaca televisyen.

“Ia sekali gus memberi publisiti dan membawa rezeki kepada perniagaan yang sedang diusahakan. 

“Ingin saya tegaskan bukan dia yang suruh saya buat perniagaan tu, tapi ia adalah usaha dan kerja keras saya sendiri.

“Sebagai keluarga, kami melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Ismal terkenal dengan baju perlbagai coraknya kepada sidang media

Walaupun sering dikaitkan menumpang pengaruh bapa mentua, Jovian berkata, dia tidak mudah melatah terhadap segala tohmahan yang dilemparkan netizen.

Menurutnya, hanya kawan-kawan lama saja yang memahami perjalanan dia dalam industri fesyen. 

“Saya sudah lali dengan kontroversi sebegini. Walaupun terguris tapi tak perlulah nak meratap atau menangis di media sosial,” katanya.