Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahmad Tarmimi nekad buat aksi lasak walau usia dah lanjut

Di sebalik usia lanjutnya, Ahmad Tarmimi Siregar tidak keberatan melakukan sendiri aksi mencabar dan lasak walaupun ia mungkin mendedahkan dirinya kepada kecederaan teruk.

Bahkan kata pelakon berusia 70 tahun itu, dia berasa “malu” berdepan dengan pengarah serta produksi Perjalanan Pertama dari seberang jika dilihat tidak mampu mengambil bahagian dalam aksi membawa vespa dalam filemnya.

“Malu kalau suruh orang lain buat (aksi pegun).

“Saya tak mahu terima cadangan pengarah, Arief Malinmudo, untuk guna pelakon lagak ngeri walaupun sedar aksi tu sangat bahaya.

“Ia boleh mengganggu penggambaran sekiranya berlaku kemalangan,” ujarnya.

Pun begitu, tutur Ahmad Tarmimi, babak mencemaskan yang dijayakan bersama Muzakki Ramdhan itu mungkin aksi pegun pertama dan terakhirnya.

Dalam Perjalanan Pertama, Muzakki, 13, berlakon sebagai Yahya iaitu cucu Ahmad Tarmimi.

Kata Ahmad Tarmimi, dia perlu berdepan saat-saat mencemaskan apabila Vespa yang ditungganginya itu tergelincir dari laluan yang ditetapkan.

“Pada usia lebih 70-an, ni mungkin kali pertama dan terakhir saya buat begitu. Sewaktu latihan pernah tergelincir sekali sampai kaki tersepit.

“Mula-mula saya naik darah juga sampai bertanya pada produksi: Kau mahu bunuh aku ya?

“Tapi saya anak Vespa pencen," katanya.

Bimbang risiko pembonceng

Memberitahu dia biasa menunggang Vespa sewaktu muda-muda dulu, dia berasa selesa untuk beraksi di depan lensa kamera tidak lama kemudian.

Ahmad Tarmimi ditemui pada sidang media dan pratonton Perjalanan Pertama di Petaling Jaya baru-baru ini.

Filem itu memaparkan kisah kekeluargaan dan pengembaraan membabitkan seorang datuk bersama cucunya. Di sepanjang perjalanan itu, banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi.

Filem tersebut turut dijayakan pelakon lain seperti Adinda Thomas, Randy Pangalila, Gilang Dirga, Komo Ricky dan Angelica Petra.

Selepas Indonesia, Perjalanan Pertama dijadual menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 18 Ogos ini.

Untuk rekod, filem itu sudah ditayangkan di World Premiere Moslem Film Festival Australia dan Asian Premier Jogja Asian Film Festival pada tahun 2021.

Filem berkenaan adalah usahasama antara syarikat produksi D’Ayu Pictures bersama Mahakarya Pictures, iaitu syarikat produksi Indonesia.

Ahmad Tarmimi berkata, keresahan melakonkan babak aksi lasak itu lebih bertumpu watak cucu yang membonceng di belakangnya, iaitu Muzakki.

Menurutnya, tangan pelakon terbabit tidak berpaut padanya dan ketika yang sama perlu memegang lukisan sebesar saiz separuh daripada badannya.

“Paling takut adalah bawa kanak-kanak di belakang. Tapi anak itu beri kepercayaan 100 peratus pada datuk yang duduk di depannya.

“Alhamdulillah, kami berjaya lakonkan babak aksi tanpa pelakon stunt (gantian) dengan selamat.

“Namun ada ketika kami menuruni bukit itu dengan Vespa, jelas terpancar di mukanya yang kelihatan takut,” katanya.