Tiga jam peminat 'dipukau' Ziana, Anuar Zain
Nak menonton konsert atau melihat gelagat melucukan? Dua-dua pun ada.
Itu mungkin kesimpulan dapat dinikmati kira-kira 2,800 penonton yang hadir ke Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) untuk menyaksikan konsert Anuar & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anuar dan Ziana bukan saja mendendangkan lagu-lagu kegemaran peminat, malah mereka berjaya membuat penonton tidak kering gusi dengan keletah masing-masing sepanjang tempoh .konsert selama hampir tiga jam itu.
Keserasian pasangan adik-beradik itu menghiburkan orang ramai - selain mudah mesra - mungkin disebabkan masing-masing pernah bekerja sebagai pramugara dan pramugari sebelum ini.
Bukan dibuat-buat, tetapi itulah sikap Anuar dan Ziana yang selesa menjadi diri sendiri agar tidak kelihatan canggung di atas pentas.
Namun secara bandingan, si kakak dilihat lebih pandai membuat jenaka apabila ada saja perkataan keluar dari mulutnya yang membuatkan penonton daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang itu ketawa.
Apatah lagi apabila Ziana, 54, acapkali menyatakan dia ‘cemburu’ melihat kecergasan Anuar, 52, berulang-alik naik dan turun pentas sedangkan dia tidak boleh berbuat demikian ekoran busana labuh serta kasut bertumit tinggi yang dipakainya.
Terharu dengan sokongan dan kehadiran peminat, Anuar dalam nada sebak bersyukur kerana mereka sanggup meluangkan masa menghadiri konsert pada malam 6 Ogos itu.
“Anda boleh pergi ke mana-mana malam ini tapi anda pilih untuk berada di sini. Terima kasih kerana memberi aura yang positif buat kami.
“Saya tak sangka masih lagi mendapat sokongan yang begitu kuat daripada anda semua setelah hampir empat dekad dalam industri,” katanya.
Tak lupa pada kawan-kawan
Untuk rekod, pada tarikh yang sama itu juga, dua lagi penyanyi popular lain, Siti Nurhaliza dan Aishah juga mengadakan konsert di lokasi berbeza.
Anuar dan Ziana tidak berkira untuk menghiburkan penonton apabila mereka memilih untuk mendendangkan lagu yang tiada dalam senarai persembahan acapella.
Antara lagu yang dinyanyikan secara acapella itu adalah Kemelut Di Muara Kasih dan Kekal dengan diiringi sentuhan piano pengarah muzik konsert, Lee Sze Wan.
Anuar pula menyanyikan lagu Jangan Bersedih Lagi dan Hanya Milikmu.
Sambil membeli jiwa peminat, Anuar tidak lupa menghargai rakan-rakannya yang hadir menyokong persembahan konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu.
Justeru dia sempat mengucapkan selamat hari lahir dan menyanyikan lagu ulang tahun kepada pengacara, Awal Ashaari, yang ditemani isteri, Scha Alyahya pada malam itu.
Bukan setakat itu, dalam satu momen menyentuh perasaan, Anuar berjaya membuatkan seorang peminat tegarnya, Tiara Nadia, menangis apabila dia mendendangkan lagu Selamat Hari Lahir kepadanya.
Dari segi vokal, Anuar mahupun Ziana, kedua-duanya sama hebat dalam melakar sejarah tersendiri apabila lebih sedekad tiada konsert mega yang menyatu dan menemukan mereka dengan peminat.
Mengimbau pesanan ibu mereka, Robiah Abdul - yang turut hadir bersama suaminya, Zin Abdullah - Ziana sentiasa beringat kata-kata orang tua itu agar tidak mendongak sombong ke langit walaupun sudah berjaya.
“Emak sering menasihatkan saya agar tidak mudah lupa diri dan sentiasa berpijak di bumi nyata. Apa yang dikurniakan hari ini, semuanya milik Allah,” tuturnya.
Mengulas detik menjelang konsert berkenaan, penyanyi Setiaku Di Sini memberitahu, hatinya tidak tenteram selama seminggu kerana memikirkan perjalanan konsert berkenaan.
Ziana yang juga penyanyi lagu Senja Nan Merah itu mendedahkan, dia dengan Anuar, ‘berperang’ untuk membuat pilihan lagu.
“Tiap kali buat konsert, lagu-lagu wajib perlu nyanyi tapi ini dua orang di atas satu pentas, mesti waktu terhad.
“Mungkin lagu-lagu yang anda suka dan tak sempat kami nyanyi kali ini, di lain kali kita nyanyi ya.
“Nak kena nyanyi lagu Anuar ni, ingat senang ke? Lagu Sedetik Lebih ni amat puitis dan susah untuk dinyanyikan,” kata Ziana sebelum menyanyikan lagu itu.
Vokal kedua-duanya padu
Selepas duet lagu Lembah Asmara dan sebelum menamatkan persembahan dengan lagu Di Akhir Garisan, Ziana sempat berkongsi kisah adiknya itu.
“Anuar ni mula menyanyi sewaktu berusia 13 tahun. Ni kakaknya yang jadi posmen, berguni surat sampai di sekolah. Sampai dapat amaran daripada cikgu,” katanya berseloroh.
Secara keseluruhan, adik-beradik itu berjaya membuktikan kepaduan vokal semasa mempersembahkan 16 lagu bersama-sama.
Cuma sedikit ralat apabila Sedetik Lebih tidak dinyanyikan sendiri oleh Anuar sebaliknya Ziana, manakala Sangkar Cinta pula dinyanyikan secara medley.
Selain itu, mungkin senarai lagu yang pendek membuatkan interaksi dengan penonton terasa terlalu banyak sehingga ada hadirin yang menggesa mereka meneruskan saja nyanyian.
Untuk rekod, selepas persembahan di Kuala Lumpur, Anuar dan Ziana dijadual menjayakan konsert sama buat peminat mereka di Singapura pada 24 Sept ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai